IPOH – Pembalakan sering kali dikaitkan dengan pelbagai kemusnahan yang bukan sahaja memberi kesan buruk kepada kehidupan di dalam hutan tetapi juga masyarakat setempat. Pencemaran sungai serta kemusnahan pokok serta habitat hidupan liar seperti gajah, harimau, pelanduk malah ular antara isu yang sering dibangkitkan.
Tanpa menafikan keadaan ini, dalam masa sama orang ramai mungkin tidak mengetahui bahawa aktiviti mengeksport komoditi berasaskan kayu adalah yang ketiga terbesar selepas minyak kelapa sawit dan getah. Bagi negara membangun seperti Malaysia, hasil eksport industri kayu negara memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi.
Nilai eksport komoditi ini melonjak daripada RM20.79 bilion pada 2014 kepada RM22.15 bilion pada 2015 sebelum mengalami sedikit penurunan pada tahun lalu yang mencatatkan RM22.11 bilion. Jumlah ini tidak termasuk nilai pasaran dalam negara yang pada tahun 2016 yang meraih RM18 bilion, menjadikan nilai industri ini pada tahun 2016 sahaja RM40.11 bilion.
Nilai eksport yang dicatat dari Januari hingga Jun 2017 pula adalah RM11.5 bilion dengan Jepun dan Amerika Syarikat menjadi dua pasaran utama diikuti India, Australia, Singapura, Korea Selatan, United Kingdom, China, Taiwan dan Thailand. Sebahagian besar eksport berasaskan kayu negara adalah dalam bentuk produk yang siap diproses terutamanya sebagai perabot, diikuti produk separa siap seperti papan lapis, kayu gergaji, dan cebisan kayu.
Bekalan kayu negara
Melihat kepada jumlah ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya dari manakah datangnya sumber bahan mentah kayu balak untuk diproses sebelum dihantar ke luar negara? Untuk pengetahuan umum, sebahagian daripadanya dituai dari dalam negara dan sebahagian lagi diimport dari negara seperti Amerika Syarikat, China, Australia, Vietnam, Thailand dan Brazil. Langkah ini bagi mengelakkan penuaian balak secara berlebihan di dalam negara memandangkan Malaysia berikrar untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus tanah negara diliputi hutan. Hari ini, 55.3 peratus kawasan di seluruh negara masih diliputi hutan.



Tindakan mengimport kayu turut memberi pilihan kepada pengilang di Malaysia mendapatkan kayu berkualiti dari luar negara untuk pengeluaran produk yang sesuai untuk kegunaan khusus di sesetengah negara pembeli.
Dengan cara ini industri yang menjadi sumber rezeki kira-kira 240,000 pekerja (huluan dan hiliran) di seluruh negara ini dapat terus bertahan dan mempunyai daya saing di pasaran dalam dan luar negara.
Tuai, bukan tebang
Menyantuni rombongan di ibu pejabat MTC di Kuala Lumpur sempena ‘2017 MTC Familiarisation Programme for Local Journalists’ pada 27 hingga 28 September lalu Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Datuk Dr. Abdul Rahim Nik berkata perkataan ‘penebangan’ hutan mungkin sudah tidak lagi sesuai digunakan dalam konteks amalan pembalakan lestari yang diamalkan pada masa ini. Menurut beliau, istilah yang lebih tepat adalah ‘penuaian’ kerana konsep pembalakan lestari hanya melibatkan pokok yang sudah matang dan membiarkan pokok yang belum memenuhi kriteria untuk terus membesar.
Beliau menambah istilah ini juga sudah digunakan dengan secara meluas dalam industri pembalakan di negara maju sambil menyifatkan standard yang diguna pakai di Malaysia adalah bertahap dunia dengan pematuhan piawaian-piawaian serta amalan kerja yang ditetapkan organisasi antarabangsa. “Sudah sampai masanya untuk orang awam memahami wujudnya Sistem Pengurusan Hutan Lestari (SFM) yang sudah wujud di negara ini sejak lebih 100 tahun lalu.
“Pada pandangan saya ramai yang tidak memahami sepenuhnya tentang industri ini. Untuk itu adalah penting untuk pihak kami menunjukkan pelbagai usaha yang dijalankan untuk memastikan kelestarian alam sekitar. Ini untuk melindungi alam sekitar dan masyarakat,” kata beliau. Program dua hari anjuran MTC itu membawa rombongan wartawan media cetak, elektronik dan digital menjelajah Kuala Lumpur, Selangor dan Perak untuk melihat sendiri tapak pembalakan lestari serta amalan piawai industri perkayuan yang digunapakai pengilang tempatan.
Cukup besar baru tuai
Kalau hendak diikutkan SFM mula digunapakai sejak tahun 1901 apabila diperkenalkan oleh orang Inggeris pada waktu itu.
Perlaksanaan ‘Selective Management System’ (SMS) adalah satu daripada teknik pembalakan yang mematuhi garis panduan SFM. Penolong Pengarah Kanan (Hutan Asli), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Yusoff Muda memberitahu, di bawah SMS, pegawai Jabatan Perhutanan akan memeriksa terlebih dahulu setiap petak kawasan penebangan untuk mengenal pasti pokok yang dibenarkan untuk dituai melalui proses penebangan.
Pembalak tidak boleh menebang pokok selain yang ditanda dengan tag berwarna putih yang dicetak dengan nombor rujukan kawasan tebangan yang menandakan ia boleh ditebang.
Pegawai Jabatan Perhutanan juga akan menanda pokok yang diharamkan tebang dengan tag berwarna biru, juga dicetak dengan nombor rujukan kawasan tebangan. Sekiranya pembalak melakukan apa sahaja tindakan yang mencederakan pokok berkenaan, walaupun hanya dicalarkan, tindakan boleh diambil ke atas mereka.
Pokok yang boleh ditebang ditentukan melalui saiz dan jenis pokok. Bagi pokok jenis damar (dipterocarp) saiz minima garis pusat batang pokok yang diizinkan tebang mestilah sekurang-kurangnya 65 sentimeter.
Bagi pokok bukan damar, saiz minimum garis pusat batang pokok yang diizinkan tebang adalah 55 sentimeter. Penentuan saiz ini sesuai dengan tahap tumbesaran pokok. Untuk pengetahuan, pokok damar memerlukan masa yang lebih panjang untuk membesar berbanding pokok bukan damar.
Pengawalan berterusan
??????? Pengarah Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Zulkpli Abd Rani pula menjelaskan pihaknya sentiasa menjalankan kegiatan pemantauan dan penguatkuasaan.
“Terdapat 3,580 kilang yang operasinya melibatkan kayu di seluruh negara. Sebahagian besarnya di Semenanjung Malaysia (2,409 kilang) diikuti Sarawak (742) dan Sabah (389).
Antara bidang yang menjadi perhatian pihaknya adalah pengeluaran lesen import dan eksport serta pemeriksaan secara fizikal mengikut Akta Kastam 1967, Akta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia 1973 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam (CITES) 2008.
Pihaknya turut menjalankan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan yang lain, sesuai dengan situasi dan jenis kesalahan yang dilakukan pihak yang melanggar undang-undang, terutamanya yang cuba mengeksport produk kayu terlarang ke luar negara. Sehubungan dengan itu, pelbagai pihak amat perlu bekerjasama untuk melindungi industri kayu negara bagi memastikan ia dapat terus hidup dan dalam masa sama menjamin hutan negara untuk generasi akan datang. – Bernama