CANBERRA, 30 April – Kumpulan pembangkang Australia dari Parti Buruh Australia (ALP) telah memberi amaran mengenai pemberian kuasa kepada kerajaan untuk mengintip rakyat Australia di negara itu.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pertahanan dilaporkan telah berjumpa bagi membincangkan undang-undang pengintipan baharu yang membolehkan agensi pengintipan siber negara itu memata-matai rakyatnya.
Jurucakap pertahanan ALP, Richard Marles menyifatkan tanggapan itu sebagai ‘sangat mengganggu.’
“Lembaga Pengarah Isyarat Australia (ASD), telah melakukan perkara di luar daripada pertahanan tetapi secara prinsip, ia merupakan aset pertahanan,” beritahu Marles kepada Guardian Australia kelmarin.
“Keselamatan negara ini dan pengumpulan kuasa Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri adalah dua perkara yang berbeza dan pada masa yang sama ia membimbangkan saya bahawa pihak kerajaan telah mengelirukan mereka.
“Ini perlu dilihat sebagai aset pertahanan, ia perlu kekal di mana ia berada.
“Apabila anda bercakap mengenai pengawasan rakyat Australia di mana ia sedang berlaku ketika ini menerusi polis, Pertubuhan Perisik Keselamatan Australia (ASIO), terdapat kelengkapan yang sah yang menyediakan pelindungan, pensyaratan waran.
“Tidak terdapat petanda mengenai bagaimana pelindungan itu diletakkan bagi menghubungkan dengan ASD.”
Di bawah undang-undang pada masa ini, ASD tidak membenarkan untuk melakukan perisikan terhadap rakyat Australia tetapi di bawah perubahan yang telah dicadangkan, ia akan mampu memasuki e-mel, rekod bank dan pesanan mesej rakyatnya. – Xinhua