COLOMBO, 1 Julai – Parti-parti pembangkang di Maldives semalam setuju untuk mencalonkan seorang calon bersama dalam pilihan raya presiden pada bulan September ini untuk mencabar presiden yang masih dalam jawatannya Abdulla Yameen, yang tindakannya ke atas para penentang telah mencemaskan masyarakat antarabangsa.
Yameen mengisytiharkan keadaan darurat pada Februari lalu di Maldives, satu langkah yang menurut para pengkritik bertujuan mengelak pendakwaannya. Sementara itu, kesemua saingan utamanya telah dipenjarakan.
Pengumuman semalam dibuat selepas bekas presiden Mohamed Nasheed (gambar), yang hidup dalam buangan di London pada Jumaat lalu berkata dia tidak akan pulang untuk bertanding dalam pilihan raya pada 23 September ini. Parti Nasheed, Parti Demokrasi Maldives (MDP) semalam berkata ia telah bersetuju untuk menyertai beberapa parti lain, termasuklah kumpulan yang berpecah dalam parti memerintah Yameen untuk membantu satu gabungan.
“Tahniah kepada parti-parti pembangkang bersama yang hari ini bersetuju untuk mencalonkan calon bersama bagi pilihan raya presiden,” Nasheed berkata melalui Twitter. Sumber-sumber pihak pembangkang di Maldives berkata pemimpin parlimen MDP, Ibrahim Mohamed Solih dijangka akan dicalonkan sebagai calon gabungan itu.
Yameen mengisytiharkan keadaan darurat selama 45 hari selepas mahkamah tinggi mengarahkan para penentang dibebaskan dari penjara dan ahli parlimen dalam parti memerintah yang dipecat oleh Yameen telah dikembalikan. Ketua hakim dan hakim mahkamah tinggi kemudiannya diberkas bersama adik tiri Yameen, Maumoon Abdul Gayoom, bekas orang kuat yang telah memimpin selama 30 tahun sehingga 2008. – AFP