Pembangkang diheret keluar

HONG KONG, 17 OKT – Ahli parlimen prodemokrasi diheret keluar dari dewan perundangan Hong Kong oleh pengawal keselamatan hari ini selepas sekali lagi mengganggu ucapan pemimpin pro Beijing kota berkenaan.

Ketua Eksekutif, Carrie Lam terus berdepan kemarahan pihak lawan sejak badan perundangan itu memulakan sesi baharu semalam, tiga bulan selepas bangunan itu dirosakkan penunjuk perasaan bertopeng.

Lam gagal menyampaikan ucapan dasarnya semalam, selepas penggubal undang-undang prodemokrasi, yang membentuk minoriti dalam badan perundangan pro Beijing itu, berulang kali mengganggu beliau.

Akibatnya, beliau terpaksa menyampaikan amanat dalam bentuk rakaman video.

Beliau kembali ke Majlis Perundangan hari ini untuk menyambung sesi dan dijangka menjawab soalan mengenai kandungan ucapan dasar itu.

Kekacauan tercetus sekali lagi apabila pembangkang mula melaungkan slogan dan terpaksa diheret keluar dari dewan oleh pengawal keselamatan. Pemimpin yang setakat ini menolak gesaan meletak jawatan, dijangka membentangkan dasar ketiganya ketika keganasan memuncak menjerumuskan bandar raya itu ke kancah krisis politik terbesar sejak berdekad lalu. – AFP

Pengawal keselamatan mengejar pembangkang Au-Nok-Hin (tengah) ketika dia cuba berlari ke meja Carrie Lam. Parlimen Hong Kong yang baharu bersidang kecoh apabila beberapa pembangkang mengganggu Carrie menyampaikan ucapan dasarnya. – AP