CARACAS, 31 Jan – Beribu-ribu orang pembantah dari pembangkang, diketuai oleh Juan Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden, semalam menggesa pasukan bersenjata supaya berpaling daripada Presiden Nicolas Maduro dan membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki negara yang dicengkam krisis itu.
Orang ramai keluar ke jalan raya di ibu negara, Caracas dan bandar-bandar lain, mengetuk periuk, meniup wisel dan membunyikan hon serta membawa sepanduk-sepanduk yang ditulis ‘Pasukan bersenjata, dapatkan semula maruah kamu’, ‘Maduro perampas’, ‘Guiado, presiden’ dan ‘Tidak kepada kepimpinan diktator’.
“Jangan tembak mereka yang membuat tuntutan, demi untuk keluarga kamu,” Guaido berkata dalam mesej kepada pihak ketenteraan yang dihantar dari universiti di Caracas.
Dia juga menulis dalam halaman pendapat editorial yang diterbitkan semalam bahawa sokongan pihak ketenteraan adalah kunci usaha untuk menyingkirkan Maduro, dengan mengatakan pertemuan sulit telah diadakan dengan para anggota pasukan keselamatan.
“Pengunduran sokongan pihak ketenteraan dari Maduro adalah penting untuk membolehkan perubahan dalam kerajaan dan majoriti mereka yang berkhidmat dalam tentera bersetuju bahawa kerja keras negara kebelakangan ini adalah tidak dapat dipertahankan,” Guaido menulis.
Presiden Perhimpunan Kebangsaan berusia 35 tahun itu, yang juga jurutera terlatih cuba untuk menyingkirkan Maduro, 56 tahun dari terus berkuasa supaya dia boleh menubuhkan kerajaan peralihan dan mengadakan pilihan raya presiden baharu.
Guaido segera meraih sokongan dari AS dan beberapa negara Amerika Latin. Enam negara utama Eropah memberitahu Maduro supaya mengadakan pilihan raya pada hujung minggu atau mereka juga akan mengiktiraf Guaido.
“Bantahan besar di seluruh Venezuela hari ini menentang Maduro. Perjuangan bagi kebebasan telah bermula!” Presiden Donald Trump menyatakan melalui Twitter selepas bercakap dengan Guaido. – AFP
