SEOUL, 21 MAC – Lima parti pembangkang Korea Selatan hari ini mengemukakan usul pemecatan pemangku Presiden Choi Sang-mok berhubung keengganannya melantik hakim kesembilan Mahkamah Perlembagaan, lapor agensi berita Yonhap.
Ahli-ahli Parlimen daripada Parti Demokratik (DP) iaitu parti pembangkang utama, bersama empat parti lain menyerahkan usul itu di Dewan Perwakilan pada 2 petang waktu tempatan.
“Walaupun para hakim Mahkamah Perlembagaan telah membuat keputusan sebulat suara, (Choi) masih belum melaksanakan keputusan itu meskipun telah tiga minggu berlalu,” kata Timbalan Ketua DP bagi dasar, Kim Yong-min kepada pemberita.
Pada akhir Disember lalu, Choi melantik dua hakim tetapi menangguhkan pelantikan calon hakim yang disyorkan oleh pembangkang, Ma Eun-hyuk dengan alasan perlunya konsensus dwipartisan.
DP mengecam tindakan Choi, dengan menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Perlembagaan yang menyatakan keengganan Choi untuk melantik calon itu sebagai satu tindakan ‘tidak berperlembagaan’, menjejaskan hak Dewan Perwakilan.
Parti pembangkang turut menyenaraikan empat lagi alasan pemecatan, termasuk dakwaan penglibatan Choi dalam percubaan Presiden Yoon Suk Yeol untuk mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember, serta kegagalannya melantik calon hakim Ma Yong-ju.
Setakat ini, tiada tarikh ditetapkan bagi keputusan pemecatan Yoon.
Persetujuan oleh sekurang-kurangnya enam hakim diperlukan untuk memecat Yoon.
Pada masa ini, mahkamah hanya mempunyai lapan hakim yang bertugas. – Bernama
