Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembangunan bola sepak, futsal wanita perlu usaha konsisten semua peringkat

    KUALA LUMPUR, 17 OKT – Pembangunan bola sepak dan futsal wanita di Malaysia memerlukan lebih banyak usaha yang konsisten dan berterusan daripada peringkat akar umbi sehingga elit supaya sekurang-kurangnya mampu mencabar pasukan pilihan di peringkat serantau.

    Padangan itu dikongsi oleh pemain bola sepak dan futsal wanita Malaysia, Fatin Shahida Azmi kepada Bernama sambil menyifatkan beberapa kejohanan dan program melibatkan wanita sebelum ini seolah-olah tenggelam timbul.

    Bagaimanapun, beliau gembira dengan penganjuran berterusan Liga Super Wanita (WSL) anjuran Persatuan Bolasepak Selangor sejak 2021 serta Liga Wanita Nasional (LWN) kelolaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang buat julung kali menawarkan tiket ke pusingan pertama Liga Juara-juara Wanita AFC (AWCL) 2024 bagi juara edisi lepas iaitu Sabah.

    Fatin Shahida, 33, yang pernah dinobatkan pemain terbaik Piala Tun Sharifah Rodziah 2022 berkata sama seperti bola sepak lelaki, platform pembangunan bagi golongan wanita juga harus bermula daripada peringkat bawah sehingga atas.

    “Sekarang hanya Selangor dan Kuala Lumpur anjurkan liga wanita. Bagi saya ini dikira baik kerana pada awal tahun saya akan beraksi di Liga WSL diikuti LWN, ada kejohanan sepanjang tahun. Saya juga aktif dalam futsal di peringkat kebangsaan sehingga bergelar juara Liga Futsal Kebangsaan sebanyak tiga kali.

    “Penyertaan dalam kejohanan sepanjang tahun akan bantu meningkatkan kualiti pemain dan talent pool wanita. Sebelum ini, ada kejohanan yang diperkenalkan namun sekejap sahaja,” katanya sambil menambah banyak cabaran harus ditempuhi oleh pemain wanita untuk berjaya dalam kerjaya sukan berkenaan. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda