Oleh Salawati Haji Yahya dan Sim Y.H.
Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan supaya pembinaan bangunan kampus baharu Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) disegerakan dan mencadangkan bagi penubuhan sebuah fakulti baharu di UNISSA iaitu fakulti pertanian.
“Kita berharap sekarang siapnya Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, satu projek besar pula akan menyusul iaitu pembinaan kampus baharu UNISSA di Temburong. Projek ini amat bermakna bukan sahaja bagi Temburong malahan juga kepada Negara Brunei Darussalam selaku mercu tanda betapa Islam di negara ini terus dipupuk dan diperkembangkan. Beta tidak mahu kiranya akan ada lagi alasan mengapa projek ini tidak dapat disegerakan,” titah Baginda Sultan semasa lawatan tidak berjadual ke UNISSA, Gadong, hari ini.
Baginda bertitah bahawa apa yang penting ialah UNISSA perlu bersiap dari sekarang untuk memasuki era baharunya dengan memiliki bangunan yang baharu di mana persiapan itu, meliputi kemas kini dalam pengurusan dan pentadbiran universiti, memperkasa semua fakulti yang ada dan meningkatkan prestasi serta kualiti sekalian tenaga akademik tanpa mengabaikan pencapaian cemerlang para pelajar.
Baginda Sultan dalam titah tersebut turut mencadangkan supaya UNISSA dapat menubuhkan sebuah fakulti baharu iaitu fakulti pertanian.
“Bersabit dengan lokasi UNISSA di Temburong kelak, tidakkah sesuai kiranya jika UNISSA menubuhkan sebuah fakulti baharu yang dinamakan fakulti pertanian kerana Beta difahamkan ilmu-ilmu pertanian, ternakan dan seumpamanya juga terdapat dalam Islam.
“Jadi Beta melihat kalaupun belum masanya untuk kita mempunyai pusat pengajian tinggi pertanian, maka setakat mempunyai fakulti pertanian pun adalah memadai sebagai keperluan,” titah Baginda dan mengharapkan agar ianya dapat direalisasikan.
Terdahulu dalam titah, Baginda melahirkan rasa bersyukur dan sangat gembira kerana dapat meluangkan masa melawat UNISSA hari ini.
“UNISSA adalah pusat pengajian tinggi Islam yang unggul di negara ini. Ia berperanan untuk melahirkan cendekiawan Islam sejati. Bagaimana kita sedia maklum bahawa Islam pada masa ini sedang dinamakan dengan pelbagai nama seperti Islam liberal, Islam sederhana dan lain-lain tetapi kita tidaklah berminat untuk turut menamakannya dengan nama-nama seperti ini.
“Kita hanya berminat untuk memanggilnya dengan panggilan Islam tulen atau Islam sejati sebagai merujuk pada apa yang dibawa atau yang disampaikan oleh nabi kita, Sayyidina Muhammad SAW,” titah Baginda lagi.
Di samping untuk melahirkan cendekiawan Islam, titah Baginda, UNISSA juga adalah benteng untuk menolak segala mungkar dan mendepani apa jua bentuk fitnah terhadap Islam.
“Suara UNISSA adalah suara kudus untuk kebenaran. UNISSA seperti juga lain-lain pusat pengajian turut mengeluarkan ijazahnya sendiri. Memang ijazah boleh saja diraih atau dimiliki tetapi bukan untuk dimegah-megahkan, adapun semata-mata megah itu, bukan merujuk kepada attitude yang sihat.”
Baginda juga menyeru kepada UNISSA yang merupakan sebuah pusat pengajian progresif perlulah menampakkan dirinya selalu aktif atau sibuk dengan kerja-kerja akademik atau ilmiah termasuk sensitif dan apa-apa yang ada kaitan dengan pendidikan.