LABUAN, 21 MAC – Cadangan pembangunan Fasa 1 Waterfront Labuan dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memberi manfaat besar kepada penduduk pulau ini, kata Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Romzi Ationg.
Beliau berkata projek bernilai RM38 juta yang terletak di Victoria Harbour Beach, iaitu tapak bekas pasar basah di pusat bandar Labuan, berpotensi menjana aktiviti ekonomi bagi usahawan tempatan serta memperkenalkan produk pelancongan baharu.
“Pembangunan ini akan meningkatkan sektor pelancongan dan membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan kecil serta penyedia perkhidmatan,” katanya sambil menambah bahawa projek sedemikian penting untuk meletakkan Labuan sebagai hab utama pelancongan dan perniagaan di rantau ini.
Pelaksanaan projek ini turut menunjukkan bahawa kerajaan tidak mengabaikan isu infrastruktur dan keterhubungan di Labuan.
“Kerajaan, melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa telah mengambil inisiatif dengan mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor bagi mempercepatkan penyambungan semula perkhidmatan feri, yang kekal menjadi keutamaan penduduk,” katanya.
Pada 15 Mac lepas, Zaliha berkata Labuan berada di ambang transformasi besar dengan cadangan pembangunan waterfront ini, yang bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya tarikan pelancongan. – Bernama
