Saturday, November 16, 2024
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembangunan modal insan pacu inovasi mampan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Dalam usaha memajukan pasaran modal Islam, pembangunan modal insan harus menjadi batu asas di mana tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berpendidikan adalah amat penting untuk memacu inovasi, memastikan kepatuhan prinsip syariah serta mengekalkan daya saing institusi kewangan negara pada skala global.

    “Memanfaatkan potensi penuh pasaran modal Islam untuk pembangunan mampan memerlukan tindakan kolektif, inovasi dan perkongsian strategik. Ia juga penting untuk mengutamakan inisiatif kesedaran dan pendidikan.

    “Pada masa yang sama, meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelabur, penggubal dasar dan orang ramai mengenai potensi kewangan Islam, sebagai pemangkin pembangunan mampan, merupakan kunci untuk memacu perubahan yang bermakna.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Hajah Sufinah binti Haji Sahat dalam ucapan alu-aluannya di Persidangan Pasaran Modal Islam Brunei Darussalam 2024 (BICAM 2024) yang berlangsung di Hotel Mulia, hari ini.

    Hadir di persidangan dan menyampaikan ucaptama ialah Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rokiah binti Haji Badar selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BILIF.

    Hajah Sufinah semasa menyampaikan ucapan alu-aluan semasa persidangan tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Para jemputan yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Hajah Sufinah merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan atas peluang untuk menyertai acara tahunan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2024 (Brunei MYCE 2024).

    Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada INCEIF University atas kerjasama sebagai rakan acara untuk menganjurkan BICAM buat kali ketiga.

    Di samping itu, Hajah Sufinah juga menekankan kepentingan inisiatif meningkatkan kesedaran dan pendidikan untuk menggerakkan pasaran modal Islam bagi pembangunan mampan selaras dengan objektif persidangan.

    Persidangan BICAM 2024 dianjurkan oleh Brunei Institute of Leadership & Islamic Finance (BILIF) dengan kerjasama INCEIF University, Malaysia serta sokongan daripada BDCB, sebagai salah satu pengisian bagi Brunei MYCE 2024.

    BICAM 2024 yang turut disokong oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Bank Standard Chartered Brunei itu diadakan selama dua hari bermula 12 hingga 13 Jun.

    Membawa tema Menggerakkan Pasaran Modal Islam bagi Pembangunan Mampan, ia bermatlamat untuk menampilkan pakar-pakar tempatan dan antarabangsa yang terkemuka bagi membincangkan isu serta cabaran yang relevan dalam pembangunan pasaran modal Islam terutama dalam konteks Negara Brunei Darussalam.

    Selain itu, ia juga meneroka strategi-strategi yang berkaitan untuk mempertingkat kedayatahanan, kelestarian dan keterangkuman ekosistem pasaran modal Islam di samping berkongsi pengalaman negara-negara lain mengenai impak pasaran modal terhadap pertumbuhan ekonomi.

    BICAM 2024 juga dihasratkan membantu mempromosikan Negara Brunei Darussalam yang berpotensi sebagai sebuah destinasi pusat kewangan Islam antarabangsa.

    Barisan penceramah antarabangsa yang menyampaikan pembentangan khas semasa persidangan berkenaan ialah Pengarah, Komite Nasional Ekonomi dan Keuangan Syariah (KNEKS), Indonesia, Dr Sutan Emir Hidayat; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas, HGC Firm, Indonesia, Dr Hurriyah El lslamy; Profesor Kewangan Islam, Hamad Bin Khalifa University (HBKU), Qatar, Profesor Dr Eskandar Shah dan Pakar Mobilisasi Sumber Kanan, Islamic Development Bank (lsDB), Mohd Yusri bin Yusof.

    Persidangan itu turut memuatkan sesi-sesi perbincangan panel yang menampilkan 23 orang penceramah tempatan dan antarabangsa yang membahas mengenai pelbagai topik berkaitan dengan tema persidangan.

    BICAM 2024 akan diteruskan pada hari kedua dengan pembentangan yang merangkumi topik-topik seperti Challenges of Achieving Sustainable Development Goals (SDG), Waqf Sustainable Solutions, Sukuk- A Formidable Sustainability Instrument, Seeding Sustainability through Waqf and Digital Assets and Sustainable Development.

    Acara itu diakhiri dengan ucapan penutup oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, INCEIF University, Profesor Emeritus Dato’ Dr Mohd Azmi Omar.

    BILIF, sebagai sebuah pusat kecemerlangan bagi industri kewangan dan kepimpinan di negara ini, sentiasa komited menjalankan misinya untuk membentuk pemimpin, pakar dan pemacu inovasi masa depan terutama dalam bidang kewangan Islam dan kepimpinan melalui program dan acara bertaraf antarabangsa.

    Maklumat lanjut mengenai BILIF boleh didapati melalui Iaman sesawang, BILIF, www.bilif.com.bn atau akaun lnstagram @bilif.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda