Friday, November 15, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembangunan modal insan terus diberi perhatian

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Pembangunan modal insan yang dinamik adalah penting untuk kemajuan negara dengan menyediakan pelaburan dalam pelbagai program pendidikan dan mengembangkan kemahiran dengan mempertingkatkan kualiti pendidikan di semua peringkat.

    Ia bertujuan bagi melahirkan generasi dan tenaga kerja yang adaptable, berpendidikan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan dalam pasaran pekerjaan pada masa ini dan akan datang.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2024) Perbekalan 2024/2025 pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini.

    Yang Berhormat Dato berkata, ke arah mengukuhkan kemudahan akses pendidikan, harga rancangan sebanyak $472.3 juta secara keseluruhan di bawah RKN12 akan terus disediakan untuk melaksanakan 32 buah projek bagi membangunkan infrastruktur sekolah-sekolah rendah, menengah dan agama serta institusi pengajian tinggi antaranya Kampus Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di Daerah Temburong; dan kampus kekal Politeknik Brunei di Madaras.

    Untuk meningkatkan taraf dan pencapaian pendidikan di negara ini, kerajaan akan terus memperuntukkan $37.3 juta dalam bentuk biasiswa melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Ke arah menyediakan tenaga kerja tempatan yang berdaya maju agar sejajar dengan keperluan bidang pekerjaan dan industri semasa dan juga masa hadapan, peruntukan sejumlah $24 juta akan disediakan di bawah MPEC, Jabatan Perdana Menteri bagi mengendalikan program-program i-Ready, TVET Scheme, Skillsplus, SPIN in Accountancy dan Tradeskills.

    Manakala itu, dalam usaha bagi mempromosi dan menggalakkan penyelidikan dan inovasi dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan, sains sosial serta kesenian dan kebudayaan, beberapa peruntukan akan disediakan dengan harga rancangan sejumlah $61.8 juta termasuk membina Creative, Cultural, Industries Hub (CCI Hub) dan Community Library.

    Ini merupakan salah satu inovasi ekonomi baharu bagi memperkasakan pekerja yang kreatif dan mengukuhkan infrastruktur kebudayaan dan kesenian negara.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda