Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembangunan Sabah lebih berkesan dengan sokongan Persekutuan

    PENAMPANG, 30 MEI – Agenda pembangunan di Sabah akan lebih berkesan dengan sokongan serta kerjasama padu antara kerajaan negeri dengan Persekutuan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

    Sehubungan dengan itu, beliau yakin hubungan yang kukuh dan erat dengan kerajaan Persekutuan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan dasar-dasar pembangunan di Sabah.

    “Ia merupakan kerjasama penting dalam memastikan rakyat Sabah mendapat manfaat secara langsung,” katanya berucap pada Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), hari ini.

    Majlis itu telah dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

    Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada Anwar atas kehadiran beliau menyempurnakan perasmian sambutan Pesta Kaamatan, yang disifatkannya sebagai bukti komitmen kerajaan Persekutuan terhadap Sabah.

    Beliau berkata Pesta Kaamatan tahun ini yang membawa tema Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan, menandakan sambutan ke-65 sejak ia diperkenalkan secara rasmi pada 1960.

    “Kaamatan bukan sekadar sambutan budaya, tetapi juga simbol perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah yang perlu dipertahankan. Kaamatan bukan milik satu kaum semata-mata, tetapi milik semua rakyat Sabah. Ia mencerminkan semangat muhibah dan keharmonian yang menjadi asas kestabilan negeri ini,” katanya.

    Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri kekal komited memperkasakan pembangunan sosioekonomi luar bandar melalui pelbagai pendekatan strategik termasuk pemodenan pertanian, galakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pembangunan pelancongan komuniti.

    “Usaha ini merupakan antara teras penting dalam misi menjana kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan inklusif di bawah kerangka dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya. Tambahnya, rakyat luar bandar perlu terus diberi peluang ekonomi sama ada melalui pertanian moden, pelancongan berasaskan komuniti atau latihan kemahiran. – Bernama

    Datuk Seri Hajiji Noor berkata agenda pembangunan di Sabah akan lebih berkesan dengan sokongan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda