Friday, February 21, 2025
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembangunan Sabah, S’wak terus diberi tumpuan

    KUALA LUMPUR, 11 SEPT – Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak melalui pelbagai projek dan inisiatif baharu pada tempoh akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). 

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Usul Kajian Separuh Penggal RMK12 di Dewan Rakyat hari ini berkata, bagi menjamin pembangunan Sabah, kerajaan akan menyerahkan kuasa kawal selia elektrik kepada kerajaan negeri.

    Beliau berkata melalui penyerahan kuasa itu yang dijangka dapat dimuktamadkan menjelang Januari tahun hadapan itu, Kerajaan Negeri Sabah memiliki wewenang untuk mengawal selia bekalan gas dan elektrik berdasarkan kepentingan negeri. Selain itu, beliau berkata projek pembangunan sistem tenaga boleh baharu dan menaik taraf sistem bekalan elektrik di Gugusan Felda Sahabat juga akan dilaksanakan bagi menambah baik daya harap bekalan elektrik di negeri di Bawah Bayu itu.

    “Projek dengan kos sebanyak RM195 juta ini akan memanfaatkan rakyat di kawasan tersebut dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya. 

    Dalam usaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan di kedua-dua wilayah tersebut pula, Perdana Menteri berkata lebih banyak projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah akan dilaksanakan. 

    “Sehingga kini, sebanyak 64 projek sedang dalam pelaksanaan di Sarawak dan 43 projek lagi di Sabah,” katanya. 

    Anwar turut berkata sebuah pusat darah wilayah akan dibina di Sabah, manakala Makmal Kesihatan Awam dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan akan dibina di Kuching, Sarawak bagi meningkatkan kemudahan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih saksama. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda