KOTA KINABALU, 17 NOV – Kerajaan Malaysia akan memberi tumpuan kepada tiga projek pembangunan utama di Sabah termasuk Talian Penghantaran Southern Link Fasa 1A di Pantai Timur sebagai komitmen berterusan menangani masalah bekalan elektrik di negeri itu.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata dua lagi projek tumpuan ialah pembinaan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu dan pembinaan jalan baharu dari Kalabakan ke Simanggaris, sempadan Malaysia-Indonesia di Kalabakan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata ketiga-tiga projek itu akan dikendalikan oleh kementeriannya, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya.
“Selaras dengan pengumuman Belanjawan 2026, terdapat 1,143 program atau projek melibatkan peruntukan RM6.89 bilion, termasuk 188 program atau projek baharu.
“Tiga projek ini akan menjadi antara tumpuan pada tahun depan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Pemantauan Program/Projek Pembangunan Sabah 2025 di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, hari ini.

Fadillah berkata mesyuarat itu membincangkan Laporan Status Projek Lewat Jadual (Sakit) Sabah serta prestasi projek pembangunan Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Kedua
Belas (RP5 RMKe-12) 2025 dan mekanisme pelaksanaan projek RP1 RMK13 2026.
Menurut beliau, mesyuarat itu mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah untuk memantau dan menilai kelancaran pelaksanaan projek pembangunan negeri serta menyelesaikan sebarang stumbling block.
“Secara keseluruhannya, prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan bagi RP5 RMKe-12 sehingga 3 November 2025 di peringkat nasional adalah 71.97 peratus atau RM61.89 bilion berbanding peruntukan asal RM86 bilion bagi 9,516 projek.
“Bagi Sabah pula, dengan jumlah projek tertinggi berbanding negeri lain iaitu 1,294 projek, prestasi perbelanjaan sehingga 3 November 2025 adalah 70.13 peratus atau RM4.17 bilion berbanding peruntukan asal RM5.94 bilion,” katanya.
Fadillah berkata mesyuarat itu menjadi platform bagi kedua-dua kerajaan untuk meneliti, berbincang dan berkongsi pandangan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan di Sabah berjalan lancar. – Bernama
