Friday, February 21, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembangunan semula Gaza tanpa pemindahan penduduk perlu sokongan dunia

    KAHERAH, 20 FEB – Masyarakat antarabangsa perlu menyokong pelan pembangunan semula Gaza tanpa memindahkan penduduk Palestin, kata Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi kelmarin.

    Pada 12 Februari lepas, Mesir mengumumkan hasrat untuk membentangkan satu visi bagi pembangunan semula Gaza dalam masa terdekat, yang akan memastikan kelangsungan kewujudan rakyat Palestin di tanah mereka.

    Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty berkata negaranya sedang merangka satu konsep menyeluruh dan berperingkat bagi pembangunan semula wilayah itu.

    “Kami menekankan kepentingan masyarakat antarabangsa menyokong pelan pembangunan semula Gaza tanpa memindahkan rakyat Palestin,” kata al-Sisi dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez di Madrid, seperti yang dipetik Sputnik.

    Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada awal Februari mencadangkan bahawa Washington boleh ‘mengambil alih’ Gaza dan membangunkannya menjadi ‘Riviera Timur Tengah.’

    Pada masa yang sama, beliau menggambarkan Gaza sebagai ‘tapak kemusnahan’ dan pernah mencadangkan penduduknya berpindah secara tetap ke negara lain seperti Jordan dan Mesir.

    Trump juga tidak menolak kemungkinan tentera Amerika Syarikat dihantar ke Gaza.

    Cadangan itu disokong oleh Menteri Luar Israel, Gideon Saar yang menyifatkan Gaza sebagai ‘penyelidikan yang gagal’, namun kumpulan Palestin Hamas, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi menolak sepenuhnya idea pemindahan penduduk Gaza.

    Sejak 19 Januari, gencatan senjata telah berkuat kuasa di Gaza susulan perjanjian antara Israel dan Hamas bagi pembebasan rakyat Israel yang ditawan sebagai pertukaran dengan pembebasan tahanan Palestin dari penjara Israel. – Bernama/Sputnik/Ria Novosti

    Abdel Fattah el-Sisi bersama Raja Sepanyol Felipe VI, (kanan) dalam satu majlis di Istana Diraja di Madrid kelmarin. Beliau tegaskan dunia perlu sokong pembangunan Gaza. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda