ISTANBUL – Kelihatan pelancong semakin ramai mengunjungi kembali Turki khususnya pada musim panas ini berikutan nilai lira Turki yang jatuh berikutan konflik ketidakpastian ekonomi dan perbalahan negara itu dengan Amerika Syarikat (AS).
Bukti peningkatan itu terlalu banyak dan seperti contoh sebuah agensi pelancongan British telah berjaya menerima tempahan sekitar 200 penduduk negara itu, meningkat sebanyak 15 daripada tempahan tahun lepas, untuk berkunjung dan melancong ke Turki dan menikmati keindahan pantai-pantainya.
Malah banyak penduduk Turki yang tinggal di luar negara telah pulang ke kampung halaman masing-masing dan menginap di pusat-pusat peranginan baru-baru ini bagi menikmati percutian untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama kaum keluarga di kampung halaman mereka, tidak lama yang lalu.
Berikutan nilai mata wang Turki yang jatuh menjunam dan isu pertikaian dengan Amerika Syarikat, pastinya, situasi itu telah menimbulkan satu kebimbangan khususnya terhadap isu ekonomi negara itu.
Bagaimanapun, sektor pelancongan di negara itu yang pernah bergelut dengan beberapa isu pengeboman dan percubaan rampasan kuasa pada tahun 2016, memberikan sinar harapan baharu buat negara itu sekali gus cuba membantu ekonomi negara itu yang bermasalah.




Dianggarkan hampir 19 hingga 16 juta penduduk asal negara itu yang tinggal di luar negara dan pelancong telah berkunjung ke Turki dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun ini, meningkat 29 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun 2017, menurut perangkaan rasmi pihak kerajaan Turki. Pendapatan industri pelancongan di negara itu meningkat dan meraih pendapatan sumber ekonomi sehingga AS$11 bilion.
Baru-baru ini, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turki telah memuat naik gambar-gambar keadaan persekitaran Pantai Antalya di media sosial. “Saya berpeluang untuk berbual dengan beberapa orang pelancong asing yang telah memilih Turki sebagai destinasi pelancongan mereka,” kata Menteri itu, Mehmet Nuri Ersoy. Terlalu banyak tawaran yang menakjubkan cuba diberikan oleh Turki kepada pelancongnya seperti matahari dan pasir, khazanah arkeologi, masakan dan membeli-belah.
Kini, isu keganasan dan masalah politik semakin berkurangan di negara itu dan berikutan nilai mata wang lira yang rendah terhadap nilai dolar AS, memberikan pelancong asing untuk memanfaatkan peluang nilai tersebut dan berkunjung ke Turki untuk menikmati percutian musim panas mereka.
Pengurusan SwimTrek telah menerima tempahan yang penuh bagi para perenang antarabangsa yang ingin mengikuti perlumbaan renang Hellespont sekitar 4.5 kilometer di Teluk Selat Dardanelles pada 30 Ogos nanti. Manakala ratusan yang lain dijangka akan turut menyertainya.
“Para perenang pastinya akan melihat perlumbaan itu sebagai acara yang ditunggu-tunggu dan peluang terhadap nilai mata wang yang rendah di negara itu tidak semestinya faktor utama, kebanyakan pelancong berkunjung ke negara ini,” kata Georgie Oliver, pengurus pemasaran di pengurusan SwimTrek kepada media.
Berikutan keadaan negara itu yang semakin aman dan tenang, ia telah berjaya menarik dan memikat kembali para pelancong serta memberikan kerahmatan kepada Turki.
Kedatangan pelancong yang tinggi
Musim panas merupakan musim di mana negara itu akan menerima kadar kedatangan pelancong yang tinggi sebelum ini dan kebanyakan hotel di kawasan pinggir Laut Aegean dan Mediterranean telah melaporkan menerima tempahan yang penuh, terima kasih kepada penduduk Turki yang pulang ke kampung halaman mereka bagi meraikan Hari Raya Aidiladha bersama kaum keluarga mereka.


Walaupun terpaksa menempuh kadar nilai mata wang yang rendah namun penduduk Turki tidak terganggu dengan krisis itu kerana kebanyakan tempahan telah dibayar sebelum krisis nilai mata wang negara itu jatuh. “Pada tahun ini, pusat peranginan Bodrum telah menerima kedatangan yang tinggi dari penduduk Turki yang tinggal di kawasan bandar untuk bercuti dan berehat di kawasan itu,” menurut Zaytung, sebuah laman web sosial di Turki.
Kebanyakan penduduk bandar datang ke Bodrum untuk berehat dan melepaskan tekanan mereka namun sebaliknya, bandar ini sangat padat dengan pelancong dan sekurang-kurangnya penduduk serta pelancong terpaksa menunggu selama satu jam untuk memasuki sebuah restoran, bersaing untuk mencari tapak yang sesuai untuk berjemur di kawasan pantai dan berpura-pura menikmati kehebatan bandar itu dengan mengambil swafoto sebelum kembali semula ke bandar selepas hujung minggu berakhir.
Akhbar tempatan negara itu, Hurriyet telah menyiarkan gambar bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan isterinya, Carla Bruni-Sarkozy, sedang berehat di bot mewah mereka di kawasan laut Bodrum. Selain itu, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro berpeluang untuk melawat beberapa lokasi menarik di Turki seperti Istana Topkapi di Istanbul yang pernah menempatkan sultan-sultan Uthmaniyyah semasa kunjungannya di Turki baru-baru ini.
Hampir kesemua berita positif yang datang dari sektor pelancongan negara itu membawa satu perkembangan ekonomi yang meluas. Namun Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata bahawa ekonomi negara itu sedang berada dalam keadaan rapuh berikutan sekatan dan denda ekonomi AS, termasuk tarif, yang dikenakan semasa pertikaian terhadap seorang rakyat AS yang menghadapi tuduhan berhubung kait dengan keganasan di Turki.
Pihak kerajaan Turki turut memperkenalkan subsidi terhadap penerbangan sewa khas dan dana jaminan kredit untuk membantu para pelancong dan mula dimanfaatkan oleh pasaran China. Penduduk di timur tengah turut memanfaatkan peluang itu dengan berkunjung dan bergegas ke kedai-kedai barangan mewah untuk membeli-belah selepas kejatuhan nilai Lira pada bulan ini.
Memperbaiki ikatan perhubungan
Kebanyakan pelancong yang datang ke Turki adalah dari Rusia, menunjukkan satu hubungan yang semakin baik selepas Turki menembak jatuh pesawat tentera Rusia berhampiran sempadan Turki-Syria pada tahun 2015.
Selain Rusia, bilangan pelancong dari Jerman turut meningkat selepas ketegangan terhadap hak asasi manusia di Turki, di mana Erdogan lebih memfokuskan kuasa berbanding menjalankan tugasnya sebagai seorang presiden.
Apa yang pasti, sektor pelancongan Turki harus bijak dan tidak terlalu berpuas hati dengan perkembangan itu. Isu keselamatan masih menjadi satu kebimbangan. Kejadian tembak menembak telah berlaku dari sebuah kereta di kawasan Kedutaan AS di Ankara, Ibu kota Turki baru-baru ini. Tidak ada mangsa yang terkorban namun dua penembak itu yang mempunyai rekod jenayah sebelum ini telah berjaya ditangkap.
Pada bulan Jun lalu, pihak kerajaan AS menasihati rakyat Amerika Syarikat untuk berhati-hati dan menimbang semula perancangan mereka untuk ke Turki akibat keganasan dan penahanan sewenang-wenangnya di negara itu.
Sesetengah pemilik hotel merasa lega setelah mendapati sektor pelancongan di negara itu semakin meningkat tetapi mereka masih berwaspada tentang beberapa kemungkinan perang di kawasan negara jiran Syria dan konflik di Turki dengan pemberontak Kurdish serta banyak lagi.
“Kami tidak tahu apa yang akan berlaku lagi selepas ini,” kata seorang pemilik hotel yang tidak mahu didedahkan namanya kerana takut dan bimbang jika diperhatikan oleh pihak kerajaan Turki.
Salah satu rangsangan terbesar dalam perkembangan pelancongan di Turki ialah persembahan konsert penyanyi terkenal Colombia, Shakira yang diadakan di Istanbul pada bulan Julai lalu dan merupakan yang pertama di bandar itu setelah sedekad yang lalu. Beberapa ribu pelancong asing telah datang ke Turki untuk melihat konsert tersebut, kata pegawai pelancongan.
“Setelah sekian lama, saya gembira kerana dapat membuat persembahan lagi di negara ini,” kata Shakira kepada penonton yang bersorak. – AP