Pembantah bakar konsulat Iran

BAGHDAD, 28 NOV – Penunjuk perasaan Iraq kelmarin telah membakar Konsulat Iran di Najaf, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Penunjuk perasaan menyerbu pekarangan dan membakar seluruh fasiliti namun petugas konsulat telah dipindahkan sebelum itu, kata sumber polis yang enggan namanya disiarkan.

Pusat Perintah Operasi Najaf Iraq mengumumkan satu perintah berkurung namun tidak menyatakan berapa lama ia akan berlangsung.

Pihak berkuasa memutuskan untuk menutup semua pintu keluar masuk ke Najaf untuk mengasingkan bandar itu dengan bahagian lain di Iraq sehingga keselamatan dan keamanan dipulihkan.

Seorang pegawai Hospital Najaf memaklumkan Anadolu bahawa sejumlah 32 penunjuk perasaan cedera dalam satu pertempuran dengan pasukan keselamatan sebelum Konsulat Jeneral Iran dibakar.

Dalam perkembangan lain, pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan bertempur di wilayah-wilayah Musenna, Qadisiyyah serta Ziqar dan berpuluh-puluh penunjuk perasaan cedera dilaporkan cedera. Iraq telah digegarkan tunjuk perasaan besar-besaran sejak awal Oktober bagi membantah keadaan hidup yang teruk dan gejala rasuah yang berleluasa.

Penunjuk perasaan menuntut agar kerajaan Perdana Menteri Adel Abdul-Mahdi dibubarkan. – Bernama