BAGHDAD, 31 DIS – Beberapa ribu pembantah Iraq menyerang kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Baghdad hari ini, menceroboh tembok luar dan melaung “Jahanam Amerika!” dalam kemarahan berhubung serangan udara pada hujung minggu yang membunuh pejuang pro-Iran.
Ia merupakan kali pertama dalam beberapa tahun pembantah berjaya sampai ke kedutaan AS, yang dilindungi di belakang beberapa siri tempat pemeriksaan di Zon Hijau yang dikawal ketat.
Beberapa lelaki dalam pakaian tentera, serta beberapa wanita, berarak menerusi tempat pemeriksaan berkenaan ke tembok kedutaan tanpa sebarang reaksi daripada anggota keselamatan Iraq.
Pembantah melontar batu dan merentap kamera keselamatan dari tembok.
Tentera marin AS dalam perkarangan menembak gas pemedih mata untuk meleraikan orang ramai, yang tidak menghirau permintaan supaya menjauhi bangunan kedutaan.
Penunjuk perasaan mengibar bendera sebagai menyokong Hashed al-Shaabi, rangkaian kumpulan bersenjata Syiah Iraq yang telah menerima latihan dan senjata daripada negara jiran Iran.
Pada Ahad, sekurang-kurangnya 25 pejuang dari puak Hashed dikenali sebagai Kataeb Hezbollah (Briged Hezbollah) terbunuh dalam serangan udara AS di barat pangkalan. – AFP