HONG KONG, 4 OGOS – Polis rusuhan menembakkan gas pemedih mata ke arah para pembantah prodemokrasi di Hong Kong malam ini semasa pertempuran malam kedua berturut-turut, ketika China mengeluarkan amaran baharu berhubung pergolakan yang melanda bandar tersebut.
Bandar selatan China semi-autonomi itu dilanda bantahan dua bulan dan keganasan yang dicetuskan oleh bangkangan terhadap undang-undang ekstradisi yang dirancang yang telah berkembang menjadi gerakan meluas bagi reformasi demokratik.
Dalam pergolakan terbaharu, polis menembakkan beberapa gas pemedih mata kepada para pembantah yang mendekati had garisan mereka di Daerah Sheung Wan.
Ketegangan juga berlaku antara para pembantah dan polis rusuhan dekat Pejabat Liaison, jabatan yang mewakili Beijing di bandar itu.
Dua minggu lalu, pejabat itu telah dilontar telur dan cat dalam satu langkah yang membuat Beijing berang dan mencetuskan amaran tegas dari tanah besar.
Pertempuran baharu itu muncul ketika agensi berita rasmi Xinhua, China menyiarkan komen baharu hari ini yang mengatakan ‘pasukan teruk’ telah mengancam ‘kepentingan’ negara.
“Kerajaan pusat tidak akan membiarkan situasi itu terus berlaku,” kata agensi tersebut. – AFP
