COLOMBO, 3 APRIL – Pasukan bersenjata di Sri Lanka berdepan konfrontasi tegang bersama khalayak ramai yang membantah krisis ekonomi semakin memburuk, hari ini, selepas sekatan media sosial gagal untuk menghentikan tunjuk perasaan antikerajaan.
Negara Asia Tenggara itu berdepan kekurangan makanan, minyak dan barangan asasi lain – di samping inflasi catat rekod dan bekalan tenaga yang lumpuh – dalam kemerosotan paling teruk sejak merdeka dari Britain pada 1948.
Terdahulu, Presiden Gotabaya Rajapaksa, melaksanakan perintah darurat pada Jumaat lalu, sehari selepas kumpulan orang ramai menyerbu kediamannya di bandar Colombo dan perintah berkurung seluruh negara yang berkuat kuasa sehingga pagi esok.
Samagi Jana Balawegaya (SJB), selaku parti pembangkang utama, mengecam tindakan menyekat media sosial, kononnya bagi membendung demonstrasi awam, selain menuntut supaya kerajaan meletakkan jawatan.
“Presiden Gotabaya Rajapaksa perlu sedar perubahan yang sedang berlaku terhadap pemerintahan autokratiknya,” menurut wakil rakyat SJB, Harsha de Silva kepada AFP.
Tentera bersenjata dengan raifal serangan automatik bergerak untuk menghentikan bantahan daripada ahli perundangan pembangkang dan ratusan penyokong mereka yang cuba berarak ke Independence Square di ibu negara. – AFP
