Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Seorang pembantu rumah yang mencuri daripada majikannya dihukum dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Hukuman terhadap Juriani, 20, dari Indonesia dijatuhi Majistret Marzuqi bin Sabtu sejurus tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan mencuri satu telefon bimbit pada 30 Mei lalu di kediaman majikannya di Jalan Kota Batu.
Selepas melakukan curi, tertuduh pada 1 Jun telah meminta majikannya untuk menghantarnya pulang ke negara asalnya dengan alasan mengalami sakit dada. Majikannya sebaliknya menghantar tertuduh ke agensi amah untuk dipulangkan.
Fakta kes menyebut, kesalahan tertuduh itu diketahui apabila jam loceng daripada telefon bimbit berbunyi di dalam begnya.
Pekerja agensi terus meminta tertuduh untuk mengeluarkan kesemua barang di dalam begnya dan majikannya yang masih berada di agensi itu terlihat telefon bimbit yang dikeluarkan tertuduh.
Majikannya terus mengenali telefon bimbit yang dipercayai kepunyaan anak saudaranya. Laporan polis terus dibuat.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hidayatul Aeny Alisah binti Haji Zullizam.