HONG KONG/INDONESIA, 10 FEB – Seorang wanita Indonesia yang didera oleh bekas majikannya warganegara Hong Kong, sehingga menyebabkan menderita sakit kronik, telah diberikan pampasan lebih AS$110,000 hari ini.
Penderaan yang dilakukan terhadap Kartika Puspitasari, 40, menjadi tajuk utama berita sedekad lalu dan mencetuskan bantahan terhadap layanan terhadap pembantu rumah di Hong Kong.
Majikannya telah disabit bersalah dan dipenjarakan pada 2013, dengan mahkamah mendengar cara mereka melakukan penderaan dan penghinaan selama dua tahun terhadap mangsa.
Mangsa dibakar dengan seterika dan dipukul dengan rantai basikal, menyebabkan fizikalnya berparut dan mengalami trauma.
Penganiayaan terhadapnya terbongkar selepas dia mendapatkan perlindungan konsul, dan dia akhirnya dipulangkan ke Indonesia pada 2014 tanpa menerima sebarang gaji.

Hari ini, hakim memutuskan bahawa Puspitasari telah ‘dilayan tanpa perikemanusiaan’ dan diberikan pampasan HK$868,607 (AS$110,650).
Di rumahnya di bandar Padang, pulau Sumatera di Indonesia, Puspitasari dilihat menangis gembira ketika dia menerima berita melalui panggilan video.
“Saya tidak terkata atas kebaikan hati semua,” katanya, yang mengucapkan terima kasih kepada peguam dan rakan-rakannya.
Eni Lestari, jurucakap bagi Badan Penyelarasan Migran Asia di Hong Kong, menggelar kes tersebut sebagai ekstrem, namun ‘tidak dipinggirkan’.
Kira-kira 340,000 orang pembantu rumah asing, kebanyakan mereka wanita dari Indonesia dan Filipina, bekerja di Hong Kong.
Kumpulan hak asasi sudah lama menentang bahawa sistem bandar itu membuatkan pembantu rumah terdedah kepada eksploitasi, dengan sebahagiannya tidak dapat lari daripada tempat kerja yang ganas disebabkan syarat yang ditetapkan di mana mereka terpaksa tinggal bersama majikan.
Puspitasari berkata dia berharap untuk membangunkan semula kehidupan yang sederhana bersama suami dan tiga anaknya. – AFP

