Tuesday, February 11, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembantu rumah gigit anak damit enggan tidur

    SINGAPURA, 5 APRIL – Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang digaji untuk menjaga sepasang anak damit kembar, menggigit seorang daripadanya kerana berang anak kecil itu enggan tidur pada Mei tahun lalu.

    Semalam, Masita Khoridaturochmah, 33, dihukum penjara enam bulan atas pertuduhan mendera mangsa secara sengaja sehingga mengakibatkan kesakitan fizikal yang tidak perlu.

    Channel News Asia melaporkan, butiran mangsa dan lokasi dipetik daripada kertas pertuduhan berikutan mahkamah mengeluarkan perintah ‘gag’ bagi melindungi identiti mangsa.

    Mahkamah dimaklumkan bahawa Masita mula bekerja dengan ibu mangsa sejak 2021, dengan antara tugas utamanya ialah menjaga pasangan anak damit kembar perempuan itu dan melakukan kerja-kerja rumah.

    Pada 26 Mei 2022, majikan Masita dilaporkan keluar rumah kira-kira jam 5 petang untuk mengambil anak perempuan sulungnya pulang dari prasekolah.

    Justeru, Masita ditinggalkan di rumah bersama pasangan kembar terbabit yang ketika itu berusia 14 bulan.

    Masita cuba menidurkan kedua-dua anak damit itu tetapi berang apabila seorang daripadanya enggan tidur walaupun sudah dipujuk kira-kira setengah jam sehingga melambatkan dia memasak makan malam.

    Kira-kira jam 6:30 petang, Masita menggigit anak damit itu sekali di lengan kiri anak damit itu sehingga meninggalkan kesan lebam.

    Ibu mangsa pulang ke rumah kira-kira setengah jam kemudian, sebelum memasak makan malam dan memberikan anak-anaknya makan.

    Ketika mahu menidurkan anaknya, wanita itu ternampak lebam kesan gigitan pada lengan mangsa dan mengesyaki ia akibat perbuatan Masita, lalu bertanya pembantu rumah terbabit mengenai perkara berkenaan.

    Pada mulanya, Masita menafikan tetapi kemudian mengakui perbuatannya itu. Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan polis.

    Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan Masita supaya hukuman penjara itu ditangguhkan selama seminggu bagi membolehkannya menyelesaikan beberapa urusan, termasuk menghubungi keluarga di Indonesia untuk mengaturkan kepulangannya selepas selesai menjalani hukuman penjara nanti. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda