YANGON, 29 OKT – Junta Myanmar hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas pembantu rapat pemimpin awam yang digulingkan Aung San Suu Kyi, atas tuduhan pengkhianatan, kata peguamnya, Myint Thwin.
Myanmar bergolak sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, dengan bantahan di seluruh negara dan lebih 1,100 orang terbunuh ekoran tindakan keras pasukan keselamatan, menurut kumpulan pemantau tempatan.
Thwin memberitahu AFP, U Win Htein (gambar) dipenjara selama 20 tahun mengikut Seksyen 124a oleh Mahkamah Khas dan pihaknya akan mengemukakan rayuan. Bekas ahli Parlimen itu adalah ahli berjawatan tinggi pertama dari Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) Suu Kyi, yang dijatuhkan hukuman oleh junta selepas perbicaraan.
Lelaki berusia 80 tahun itu adalah tahanan politik paling lama, menghabiskan masa yang panjang di dalam dan luar tahanan kerana menentang pemerintahan tentera. – AFP