KUCHING, 10 NOV – Seorang pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah, hari ini, atas 16 pertuduhan salah guna kuasa dan pemalsuan dokumen membabitkan jumlah keseluruhan RM189,200.
William Bong, 58, yang didakwa melakukan semua kesalahan antara bulan Jun 2019 hingga Januari 2021 di pejabatnya di Jabatan Kerja Raya, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.
Dia berdepan 13 pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
William juga berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Bernama


