Monday, February 10, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembarigaan program Pusat STEP diteruskan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BELAIT, 9 FEB – Seramai 42 orang pemimpin sekolah serta wakil dari sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam dari kluster 6 di bawah Kementerian Pendidikan telah menghadiri sesi Pembarigaan Program-program Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) 2025 yang berlangsung di Politeknik Brunei, Kampus Lumut, kelmarin.

    Pada sesi berkenaan, Pegawai Pelajaran Kanan dari Pusat STEP, Awang Misli bin Moksin dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) sebagai pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran.

    Sesi diteruskan dengan perkongsian perkhidmatan yang disediakan oleh Pusat STEP termasuk program STEAM dan Inisiatif Hijau serta hubung kaitnya dengan program-program yang ditawarkan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

    Sesi itu turut menyaksikan pe-ngumuman dan penyampaian sijil kepada para penerima STEAM Active School 2024 yang disempurnakan oleh Awang Misli. Pengiktirafan tersebut diberikan kepada sekolah-sekolah yang giat dan aktif menyertai program-program anjuran Pusat STEP pada 2023 dan 2024.

    Penerima STEAM Active School 2024 bagi Kluster 6 dalam Kategori Sekolah Rendah ialah Sekolah Rendah Lumut manakala bagi Kategori Sekolah Menengah dan Pusat Tingkatan Enam ialah Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

    Para pemimpin sekolah turut berpeluang bersemuka dan berbincang dengan pegawai fokal bagi program-program yang disediakan Pusat STEP.

    Perbincangan itu bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai kandungan dan kepentingan program-program STEAM serta Inisiatif Hijau yang telah dibarigakan.

    Selain membina kepercayaan serta memperkukuh hubungan kerjasama antara Pusat STEP dan pemimpin sekolah, inisiatif itu juga dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran, memperluas penyertaan dan menggalakkan penglibatan aktif sekolah dalam perkhidmatan serta program-program yang disediakan Pusat STEP, bagi memastikan pelaksanaannya di peringkat sekolah berjalan dengan mantap dan berkesan dalam jangka masa panjang.

    Sesi berkenaan turut disampaikan kepada pemimpin-pemimpin sekolah dan wakil dari semua kluster di bawah Kementerian Pendidikan serta akan dilaksanakan mengikut tarikh-tarikh yang telah ditetapkan.

    Awang Misli menyampaikan sijil kepada Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Awang Misli menyampaikan sijil kepada Sekolah Rendah Lumut pada sesi pembarigaan tersebut. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Pelajar berpeluang bersemuka dan berbincang dengan pegawai fokal bagi program-program yang disediakan Pusat STEP. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda