Pembasmian hutan Amazon Brazil terus meningkat

BRASILIA, 19 NOV – Pembasmian hutan hujan Amazon di Brazil meningkat hampir 22 peratus dalam masa setahun, kadar tertinggi dalam masa 15 tahun, menurut angka yang dikeluarkan kelmarin justeru menimbulkan keraguan mengenai janji kerajaan Presiden Jair Bolsonaro untuk menarik semula perkembangan dengan langkah ‘tegas’.

Kehilangan hutan seluas 13,235 kilometer persegi dari Ogos 2020 hingga Julai 2021 merupakan pembasmian terbesar sejak 14,286 kilometer persegi dibersihkan pada 2005 hingga 2006, menurut perkiraan institut penyelidikan lapangan kebangsaan Brazil, INPE.

Ia merupakan kali ketiga berturut-turut pembasmian hutan Amazon meningkat se-tiap tahun di bawah pemerintahan Bolsonaro, yang dituduh oleh pihak pembangkang berpunca daripada aktiviti pertanian dan perlombongan.

Menteri Alam Sekitar juga menegaskan data “tidak semestinya menggambarkan situasi sebenar dalam masa beberapa bulan ini.”

Walau bagaimanapun, minggu lalu, INPE berkata ia mencatatkan rekod terburuk bulan Oktober bagi pembasmian hutan, dengan kawasan berukuran lebih separuh bandar raya Rio de Janeiro telah ditebang.

“Bagi sesiapa yang masih berkeras melakukan jenayah alam sekitar ini, kami memberi amaran kerajaan Brazil akan memasuki Amazon secara besar-besaran,” kata Menteri Keadilan dan Keselamatan Awam, Anderson Torres.

Brazil antara negara yang menandatangani ikrar antarabangsa yang dicapai semasa sidang kemuncak COP26 di Glasgow untuk menamatkan pembasmian hutan menjelang 2030. Bolsonaro kemudian turut dilihat berjanji untuk menghapuskan pembasmian hutan secara haram di negara Amerika Selatan itu – yang memiliki 60 peratus hutan Amazon – menjelang 2028, merapatkan sasaran sebelumnya selama dua tahun.

Antara Ogos 2018 hingga Julai 2019, 10,129 kilometer persegi hutan Amazon telah ditebang, meningkat 34 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, menurut INPE. – AFP

Gambar bertarikh 29 Ogos 2021 menunjukkan pokok-pokok kayu yang sudah ditebang di hutan hujan Amazon, Brazil. INPE melaporkan pembasmian hutan di Amazon meningkat hampir 22 peratus dalam masa setahun. – AFP