KUALA TERENGGANU, 6 JULAI – Ketua jurulatih pasukan Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain mengakui semangat pemainnya terjejas dengan keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang membatalkan penganjuran Piala AFC Zon ASEAN tahun ini.
Pembatalan itu susulan kegagalan AFC mendapatkan tuan rumah baharu bagi penganjuran kejohanan berkenaan untuk menggantikan Singapura yang mengambil keputusan menarik diri berikutan kebimbangan ancaman COVID-19.
Nafuzi berkata kali terakhir Terengganu layak bermain di pentas Asia ialah pada 2012 menyebabkan pemain begitu bersemangat untuk memulakan saingan di AFC setelah menunggu sekian lama.
“Bukan sahaja pemain, saya sendiri pun berasa sangat kecewa dengan pembatalan tersebut kerana telah membuat persiapan rapi seperti menjalani latihan secara berpusat di kem lebih dari sebulan.
“Peluang sebegini bukannya selalu hadir dan ini sepatutnya menjadi detik bermakna untuk pemain saya mendapatkan lebih pendedahan di peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita di sini. – Bernama