Pembatasan sosial Jakarta dilanjutkan 14 hari

JAKARTA, 1 JULAI – Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) bagi fasa transisi atau pemulihan di provinsi Jakarta, dilanjutkan untuk tempoh 14 hari lagi.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan pada sidang media menerusi laman web rasmai pemerintah Jakarta berkata, proses transisi PSBB yang membenarkan beberapa aktiviti sosioekonomi itu, akan dinilai semula sebelum berakhir tempoh berkenaan berdasarkan perkembangan semasa kes COVID-19.

Pada 4 Jun lepas, Anies mengumumkan proses transisi PSBB sehingga akhir Jun, yang antaranya membenarkan rumah ibadat kembali dibuka, operasi pengangkutan awam, pembukaan pusat membeli-belah dan pemansuhan larangan bekerja dari rumah, dan semua aktiviti itu perlu menjalankan protokol baharu dan operasi semua sektor itu adalah tidak melebihi 50 peratus kapasitinya.

Sekolah dan pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi.

Dua hari lepas, Presiden Indonesia Joko Widodo mengarahkan pemerintah provinsi tidak melonggarkan peraturan PSBB sekiranya kes positif virus itu berterusan meningkat.

Beberapa provinsi antaranya Jawa Tengah, Jawa Barat dan Jakarta mula melaksanakan proses transisi PSBB yang membenarkan beberapa aktiviti sosioekonomi sejak awal dan pertengahan Jun lepas.

Sementara itu, kes positif COVID-19 di Indonesia berterusan meningkat, melepasi angka 57,000 kes, dan 2,934 kematian. – Bernama