BRASILIA, 29 MEI – Seorang hakim Brazil telah menangguhkan pembayaran denda terhadap Neymar sebanyak AS$16.28 juta dan menye-rahkan kes ini kepada pihak berkuasa cukai atas dakwaan penyelewengan, terutama yang berkaitan dengan perpindahannya ke Barcelona pada tahun 2013.
Hakim, Decio Gabriel Gimenez, di sebuah mahkamah di Sao Paulo, menangguhkan pembayaran denda itu ‘hingga pemberitahuan lebih lanjut’, dengan alasan bahawa jumlah sebenar yang harus dibayar oleh Neymar tidak dijelaskan.
Menurut laporan akhbar Brazil, negara itu telah mempertikaikan jumlah bayaran sebelumnya.
Pada bulan September 2015, Jabatan Perbendaharaan Brazil membekukan 188.8 juta reais aset pemain berikutan dengan cukai yang belum dibayar yang dikaitkan dengan hak cipta gambar dari 2011 hingga 2013.
Neymar telah meninggalkan pasukan Brazil, Santos ke Barcelona pada tahun 2013.
Denda itu dikurangkan pada tahun 2017 setelah dewan banding cukai membatalkan dua daripada lima sabitan tersebut.
Bintang Paris Saint-Germain, pemain bola termahal di dunia, bersetuju membayar denda yang jauh lebih kecil, sebelum jabatan perbendaharaan mengumumkan pada 2018 bahawa dia masih berhutang 88 juta reais.
Pemindahan Neymar dari Santos ke Barca menarik perhatian pihak berkuasa Sepanyol, yang mendakwa pemain berusia 28 tahun dan La Liga itu kerana ‘penipuan’ dan ‘rasuah’.
Barcelona secara rasmi mengatakan bahawa pemindahan itu berharga 57.1 juta euro (AS$63.6 juta), dengan 40 juta euro untuk keluarga Neymar dan 17.1 juta kepada Santos, tetapi pendakwa raya Sepanyol kemudian mengatakan ia sebenarnya menelan belanja sekurang-kurangnya 83.3 juta euro. – AFP
