Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JAN – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Urusan Haji memaklumkan kepada bakal Jemaah Haji yang terpilih untuk menunaikan Ibadat Haji bagi Musim Haji Tahun 2025, bahawa pembayaran pakej Haji berkenaan akan bermula pada esok, 2 Januari sehingga 18 Januari.
Kenyataan akhbar yang dikeluarkan KHEU kelmarin menjelaskan bakal Jemaah Haji yang terpilih untuk menunaikan Ibadat Haji pada tahun 2025 adalah dikehendaki untuk membuat pembayaran penuh harga Pakej Haji kepada syarikat pengendali perkhidmatan Pakej Haji yang dipilih pada waktu yang telah ditetapkan.
Ini adalah bagi memastikan semua urusan Haji berjalan dengan lancar dan teratur. Bakal Jemaah Haji bolehlah berhubung terus dengan syarikat yang terbabit untuk sebarang maklumat lanjut mengenai Pakej Haji yang ditawarkan dan proses pembayaran pakej berkenaan.