Pembebasan banduan ‘langkah penting’

KABUL, 13 APRIL – Utusan khas Amerika Syarikat (AS) yang merundingkan satu perjanjian dengan Taliban mengatakan hari ini bahawa satu pertukaran awal banduan antara pemberontak dan kerajaan Afghan adalah satu ‘langkah penting’ ke arah perdamaian.

Menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, Taliban pada Ahad membebaskan 20 orang banduan terdiri daripada anggota keselamatan Afghanistan.

Langkah itu dibuat selepas kerajaan minggu lalu membebaskan beratus-ratus banduan pemberontak.

“Pembebasan banduan adalah langkah penting dalam proses damai dan pengurangan keganasan,” kata Perwakilan Khas AS bagi Perdamaian Afghanistan, Zalmay Khalilzad di Twitter.

“Kedua-dua belah pihak seharusnya mempercepatkan usaha mencapai sasaran khas dalam perjanjian AS-Taliban secepat mungkin,” tambahnya, menekankan pertukaran itu adalah lebih penting lagi memandangkan kepadatan penjara yang diancam wabak koronavirus. – AFP