Tuesday, February 4, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembebasan ketua Samsung kekal

    SEOUL, 3 FEB – Mahkamah rayuan Korea Selatan hari ini mengekalkan keputusan untuk membebaskan Ketua Samsung Electronics, Lee Jae-yong, daripada pelbagai tuduhan berkaitan penggabungan kontroversi 2015 yang didakwa bertujuan mengukuhkan kawalannya ke atas teknologi terbesar itu.

    Lee sebelum ini telah dibebaskan daripada pertuduhan dalam perbicaraan tahun lalu, tetapi pihak pendakwa raya mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

    “Bukti yang dikemukakan tidak mencukupi untuk membuktikan pertuduhan melampaui keraguan munasabah,” menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh AFP.

    Lee dibebaskan daripada tuduhan termasuk manipulasi harga saham, pecah amanah dan penipuan perakaunan.

    Kes itu berkaitan penggabungan Samsung C&T sebuah firma pembinaan dan kejuruteraan  dengan Cheil Industries pada 2015.

    Lee tidak memberi sebarang kenyataan ketika meninggalkan mahkamah di Seoul, tetapi peguamnya menyatakan penghargaan atas keputusan mahkamah kepada wartawan.

    Lee sebelum ini dipenjarakan selama 18 bulan dalam kes penipuan dan pecah amanah berasingan yang turut menyaksikan kejatuhan bekas Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye, pada 2017.

    Pengerusi Eksekutif Samsung Electronics itu dibebaskan secara parol pada Ogos 2021 selepas menjalani separuh daripada hukumannya. – AFP

    Lee Jae-yong tiba di mahkamah untuk keputusannya mengenai kes penggabungan kontroversi 2015, di Mahkamah Tinggi Seoul di Seoul pada 3 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda