Sunday, May 11, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembedahan plastik : Apa hukumnya?

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    SIRI 1

    DALAM reputasi perkhidmatan perubatan yang semakin canggih dan amat baik, peningkatan bilangan khidmat kesihatan yang ditawarkan oleh pusat-pusat perubatan kerajaan atau swasta dalam memberikan khidmat kepada orang ramai semakin bertambah.

    Dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan selesa, wang bukanlah menjadi ukuran bagi sebilangan orang bahkan ada di antaranya mendapatkan perkhidmatan perubatan di hospital luar negara bagi mendapatkan khidmat yang memuaskan.

    Namun begitu, satu perkara yang tidak boleh terlepas pandang mengenainya ialah pandangan hukum syara‘ tentang suatu perubatan itu, umpamanya pembedahan plastik (plastic surgery).

    Mengenai pembedahan plastik menurut prosedur yang dilakukan oleh doktor-doktor pakar terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu pembedahan membentuk semula dan pembedahan kosmetik.

    Pertama: pembedahan membentuk semula

    Prosedur membentuk semula ialah pembedahan untuk memulihkan bentuk dan fungsi bahagian anggota badan yang tidak normal disebabkan oleh kecederaan, penyakit atau kecacatan kongenital (sejak lahir).

    Membaik pulih luka melecet yang teruk, patah tulang muka dan penggunaan tarik, flap (siat) dan graf (cantuman) tisu badan kerana terbakar dan pemindahan otot belakang ke kaki dan tangan yang cedera ialah antara contoh-contoh prosedur pembentukan semula yang biasa dilakukan oleh doktor pembedahan plastik. Begitu juga membuang kanser kulit dan membaik pulih belahan bibir dan lelangit dan sebagainya.

    Pembedahan membentuk semula ini bolehlah diertikan sebagai prosedur pembedahan yang dilakukan ke atas bahagian tubuh yang tidak normal bagi mendapatkan bentuk yang normal dan membetulkan fungsinya. Apa yang dipentingkan di sini ialah bahawa prosedur itu dilakukan ke atas bahagian-bahagian tisu badan.

    Kedua: pembedahan kosmetik

    Prosedur pembedahan kosmetik pula ialah pembedahan yang bertujuan semata-mata untuk mencantikkan bahagian badan mengikut sukat-sukat rupa dan fungsi badan yang normal. Contoh-contoh prosedur pembedahan yang ada ialah seperti menegangkan muka, mengubah suai hidung untuk kecantikan dan membuang lemak dan sebagainya.

    Pembedahan kosmetik ialah pembedahan yang dimaksudkan untuk mengelokkan dan mengubah rupa bentuk bahagian atau bahagian-bahagian daripada tubuh badan manusia yang zahir atau mengembalikan semula fungsinya apabila terjadi ke atasnya kecacatan yang memberi kesan yang mendalam kepada fikiran dan perasaan.

    Pandangan Islam mengenai pembedahan plastik

    Adapun prosedur pembedahan plastik yang dilakukan seperti yang pertama di atas iaitu pembedahan membentuk semula kerana berubat seperti kecedaraan atau memulihkan semula bentuk anggota yang rosak seperti penyakit dan kecacatan sejak lahir, adalah harus dan boleh menurut syara‘. Pembedahan begini tidak ditegah bahkan secara umumnya digalakkan dan malah dalam keadaan-keadaan tertentu boleh sampai ke tahap wajib.

    Misalnya seperti membetulkan atau membaik pulih tulang yang retak atau patah, atau menjahit luka yang membahayakan, atau menampal kulit yang terbakar dan sebagainya. Semua ini adalah bersifat rawatan untuk kesembuhan dan keselamatan, bukan pembedahan yang bertujuan mengubah kejadian ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

    Pembedahan membentuk semula ini hanyalah untuk menghilangkan kecacatan yang baru mendatang terhadap kejadian Allah Subhanahu wa Ta‘ala sama ada yang disebabkan oleh kemalangan atau penyakit dan sebagainya. Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam pernah mengizinkan seorang lelaki yang terpotong hidungnya dalam suatu peperangan supaya menggantikan hidungnya dengan emas.

    Tujuan penggantian hidung itu bukanlah semata-mata untuk kecantikan bahkan untuk mengelak kemudharatan. Menurut Islam, kemudharatan itu wajib dihindarkan sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya, “Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah). Dari hadis ini, para ulama fiqh telah menetapkan bahawa “Kemudharatan itu dihindarkan.”

    Begitu juga bagi menghilangkan atau membetulkan kecacatan yang dihidapi semenjak lahir seperti bertangkup jari-jari tangan atau kaki, atau terdapat tanda pada muka yang boleh mengaibkan dan sebagainya, maka pembedahan bagi tujuan seumpama ini tidaklah dilarang oleh syara‘.

    Adapun prosedur pembedahan plastik yang kedua iaitu pembedahan kosmetik yang bertujuan untuk mengubah kejadian asal kepada yang lain dari yang tidak pernah ada sebelumnya dengan tujuan supaya kelihatan lebih cantik dan sebagainya adalah dilarang. Mengubah ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala semata-mata untuk kecantikan, selain membawa makna tidak bersyukur terhadap ciptaanNya, perbuatan tersebut juga dianggap mengikut petunjuk syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Dan demi sesungguhnya aku (syaitan) akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.” (Surah an-Nisaa’: 119)

    Ayat di atas antara lain menerangkan bahawa syaitan berusaha untuk menyesatkan manusia ke jalan yang tidak lurus dan ia juga menyuruh merubah ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala termasuk mengubah ugamaNya serta menghalalkan apa yang diharamkan dan mengharamkan apa yang dihalalkan sebagaimana yang disebut oleh sebahagian ulama tafsir, sepertimana juga larangan-larangan hadis mengenai bertatu, menyambung rambut dan sebagainya.

    Islam melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik. Bagaimanapun jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, ianya adalah harus. Tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat kemalangan dan seumpamanya selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal.

    Dalam perkara mengubah ciptaan asal ini, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah menggambarkan bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala melaknat ke atas orang-orang yang mengubah ciptaanNya, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya:

    “Allah melaknat orang-orang yang mentatu dan yang minta ditatu, orang-orang yang mencabut bulu (di wajah), orang-orang yang minta dicabut bulu (di wajah) dan orang-orang yang merenggangkan giginya untuk tujuan kecantikan yang mengubah ciptaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

    Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam lagi yang maksudnya:

    “Allah melaknat orang yang menyambung rambutnya dan yang minta disambungkan rambutnya, dan orang yang mentatu dan yang minta ditatu.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

    Menurut Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqalani Rahimahullahu Ta‘ala, maksud mencabut bulu di wajah itu ialah dikhususkan kepada mencabut bulu kedua-dua kening sahaja bagi tujuan untuk menghaluskan atau menyamakannya. Dengan demikian, mencabut bulu selain dari bulu kening di muka adalah tidak termasuk dalam pengertian hadis di atas.

    Jika terdapat bagi perempuan itu misai dan janggut maka tidak diharamkan membuangnya bahkan hukumnya adalah sunat.

    Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala, maksud merenggangkan gigi pula ialah mengikir gigi dengan alat pengikir atau seumpamanya bagi memperelokkan atau menghaluskan gigi dengan tujuan untuk kelihatan cantik dan muda. Perbuatan ini sering dilakukan oleh golongan tua kerana dengan mempunyai gigi yang halus seolah-olah mengambarkan seperti gigi kanak-kanak dan dengan demikian mereka pun disangka masih lagi muda.

    Adapun jika dilakukan kerana keperluan perubatan, atau terdapat cacat pada gigi atau yang seumpamanya, tidaklah mengapa.

    Sebagai contoh, dalam perkara braces atau pendakap yang digunakan bagi mengikat gigi untuk meratakan kedudukan barisan gigi. Perkara ini biasanya dilakukan jika gigi sudah terlalu rapat dan tidak ada ruang untuk mengalihkan kedudukan gigi, maka salah satu gigi akan dicabut untuk memberi ruang perataan.

    Proses seperti ini tidaklah termasuk dengan maksud pengikisan atau pengasahan gigi kerana sebab atau illat meratakan gigi tersebut disebabkan kedudukan gigi yang cacat atau terdapat tujuan perubatan kerana barisan kedudukan gigi yang lebih rata diandaikan lebih bermanfaat kepada pemilik berbanding sebelum diratakan.

    Adapun mengikir gigi iaitu mengasah gigi supaya lebih pendek atau licin atau supaya lebih rata, maka perbuatan tersebut adalah haram kerana Allah Ta‘ala melaknat dan mengutuk orang yang mengikir gigi termasuk orang yang diminta dikikirkan giginya sebagaimana pendapat Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala di atas.

    Bersambung minggu depan…

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda