Sunday, May 11, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembedahan plastik : Apa hukumnya?

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    SIRI 2

    APA yang telah diterangkan mengenai dua jenis pembedahan iaitu pembedahan membentuk semula dan pembedahan kosmetik dari aspek pandangan hukum syarak mengenainya adalah selari dengan apa yang diputuskan oleh Persidangan Akademi Fiqh Islam kali ke-18.

    Menurut Resolusi dan Saranan Persidangan Fiqh Islam Antarabangsa bahawa hukum pembedahan kosmetik itu seperti berikut:

    (1) Harus dari segi syarak menjalankan pembedahan kosmetik yang bersifat darurat dan keperluan yang tujuannya di antaranya ialah:

    A. Mengembalikan bentuk anggota tubuh badan kepada keadaan sebagaimana manusia dijadikan berdasarkan firman Allah Subahanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (Surah at-Tin: 4)

    B. Mengembalikan fungsi asal anggota tubuh badan.

    C. Membaik pulih kecacatan semula jadi seperti bibir sumbing, hidung yang terlalu bengkok, tanda kelahiran (yang mencacatkan), jari dan gigi yang lebih dan jari-jari yang melekat (synostosis) apabila kewujudannya membawa kepada kesakitan dan kesan yang mendalam kepada jasmani dan jiwa.

    D. Membaik pulih kecacatan yang mendatang (yang diperolehi) akibat daripada kebakaran, kemalangan, penyakit dan sebagainya seperti pemindahan kulit (skin transplant) dan penempelannya, mengembalikan rupa bentuk keseluruhan payudara kerana terpaksa dibuang, atau sebahagiannya jika ukurannya yang besar atau kecil membawa kepada penyakit dan penanaman rambut (hair transplant) khusus bagi wanita kerana masalah rambut gugur.

    E. Menghilangkan kehodohan yang mengakibatkan jiwa dan jasmani seseorang itu menderita.

    (2) Tidak harus menjalankan pembedahan kosmetik untuk kecantikan yang tidak termasuk dalam rawatan perubatan dan yang bertujuan mengubah kejadian manusia yang biasa atau normal kerana menurut hawa nafsu dan keinginan untuk meniru orang lain, seperti pembedahan mengubah rupa bentuk muka untuk menonjolkan rupa paras yang tertentu atau untuk tujuan penipuan dan mengelirukan pengadilan, mengubah rupa bentuk hidung, menebal atau menipiskan bibir, mengubah rupa bentuk kedua belah mata dan menggebukan pipi.

    (3) Harus mengurangkan berat badan (menguruskan badan) melalui cara-cara saintifik yang diperakui di antaranya ialah pembedahan (penyedutan lemak) apabila masalah berat badan membawa kepada penyakit dan tidak ada cara lain yang boleh dilakukan selain pembedahan dengan syarat ia bebas dari sebarang kemudaratan.

    (4) Tidak harus menghilangkan kedutan dengan cara pembedahan atau suntikan selama mana kedutan itu bukan penyakit yang syaratnya bebas dari sebarang kemudaratan.

    (5) Harus menjahit selaput dara yang koyak yang disebabkan oleh kemalangan atau rogol atau secara paksaan. Manakala menjahit selaput dara yang koyak disebabkan oleh perlakuan lacur tidak harus dari segi syarak, demi menutup pintu kerosakan dan penipuan. Dan yang lebih utama pembedahan itu dikendalikan oleh para doktor wanita.

    (6) Doktor pakar hendaklah mematuhi aturan syarak dalam menjalankan tugasnya dan memberi nasihat kepada siapa yang ingin melakukan pembedahan kosmetik.

    Garis panduan dan syarat-syarat umum bagi pembedahan kosmetik

    Dalam Resolusi dan Saranan Persidangan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa kali ke-18, yang diadakan di Putrajaya, Malaysia telah menyebutkan beberapa garis dan syarat-syarat umum bagi pembedahan kosmetik itu di antaranya ialah:

    (1) Pembedahan hendaklah merupakan satu maslahat yang diperakui oleh syarak seperti mengembalikan semula fungsi dan memperbaiki kecacatan dan mengembalikan semula kejadiannya ke bentuk asalnya.

    (2) Pembedahan hendaklah tidak akan membawa kepada kemudaratan yang mengatasi maslahat yang diharapkan daripada pembedahan. Perkara ini hendaklah ditetapkan oleh ahli pakar yang dipercayai.

    (3) Doktor yang melakukan pembedahan hendaklah seorang yang pakar dan berkelayakan. Jika tidak, dia akan menanggung sebarang tanggungjawab.

    (4) Pembedahan yang dijalankan hendaklah mendapat keizinan pesakit (yang memohon pembedahan).

    (5) Doktor (pakar) hendaklah sentiasa melakukan pemantauan teliti (kepada orang yang akan dibedah) dengan bahaya-bahaya dan komplikasi-komplikasi yang dijangka berlaku dan yang berkemungkinan berlaku daripada pembedahan.

    (6) Hendaklah tidak ada cara rawatan lain yang memberi sedikit kesan dan kesakitan kepada tubuh badan selain daripada pembedahan.

    (7) Hendaklah tidak akan terjadi dari pembedahan itu suatu percanggahan dengan nas-nas syarak.

    (8) Hendaklah dipelihara aturan cara berubat dari sudut mematuhi tidak akan berlaku khalwat, hukum-hakam membuka aurat dan sebagainya, kecuali kerana darurat atau keperluan yang mendesak.

    Oleh yang demikian, hukum ke atas orang-orang yang melakukan dan yang minta dilakukan perbuatan-perbuatan seperti tatu, mencabut bulu kening, merenggangkan gigi dan menyambung rambut adalah haram.

    Manakala pembedahan plastik yang bertujuan bagi pembentukan semula adalah diharuskan, sama ada untuk menghilangkan kecacatan seperti membaik pulih belahan bibir atau ‘aib seperti ketumbuhan pada kulit atau mengembalikan atau memulihkan anggota badan yang cedera dan seumpamanya.

    Adapun pembedahan plastik yang bertujuan semata-mata untuk mengubah kejadian asal bagi tujuan kecantikan adalah dilarang oleh syarak dan hukumnya adalah berdosa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda