SINGAPURA, 27 DIS – Lipas hidup didakwa ditemui di antara bungkusan chutney dan di kawasan membuat chapati di premis pembekal makanan India tempatan di Aljunied.
Suvai Foods didakwa gagal memastikan premisnya diselenggara dengan baik dan sentiasa bersih, selepas banyak pelanggaran ditemui di premisnya di Aljunied Avenue 4 pada 21 Februari.
Syarikat itu dihadapkan tiga pertuduhan di bawah Akta Jualan Makanan pada 27 Disember.
Mengikut kertas pertuduhan, lipas hidup ditemui di beberapa kawasan, termasuk dalam bakul kelabu yang mengandungi bungkusan Suvai Coconut Chutney, di kawasan membuat chapati dan pada mesin pemprosesan makanan.
Tiga ekor lipas hidup didakwa turut ditemui di bahagian belakang kenderaan barangan berdaftar milik pembekal itu.
Premis itu didakwa kotor dengan jubin lantai pecah dan ruang pejabatnya diubah suai secara haram untuk digunakan sebagai kawasan pembungkusan.
Menurut laman webnya, Suvai Foods diasaskan pada 2012 dan menjual produk vegetarian dan halal.
Bahan pemasarannya menjanjikan sebagai satu-satunya syarikat di Asia Tenggara yang menghasilkan adunan tanpa menggunakan sebarang pengawet, dan produknya mempunyai rasa yang unik dan asli.
Pendakwa dari Agensi Makanan Singapura berkata ia akan menuntut denda bagi setiap pertuduhan. Kes itu dijangka dibicarakan semula pada 24 Januari depan.
Jika disabitkan kesalahan kerana gagal memastikan premis diselenggara dengan betul dan dijaga kebersihannya, Suvai Foods boleh didenda sehingga S$5,000. – ANN/The Star


