Friday, January 31, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembekuan bantuan AS jejas perkhidmatan kesihatan pelarian Myanmar

    BANGKOK, 30 JAN – Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk membekukan program bantuan asing selama 90 hari telah menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pelarian Myanmar, termasuk penutupan hospital di kem-kem di Thailand yang menempatkan lebih 100,000 pelarian, kata aktivis dan pegawai Thailand kelmarin.

    Menurut Konsortium Sempadan, yang mengurus dan membekalkan makanan, tempat tinggal serta sokongan lain kepada kebanyakan pelarian, kira-kira 106,000 pelarian jangka panjang kini tinggal di sembilan kem di sepanjang sempadan barat Thailand dengan Myanmar.

    Laporan pertengahan tahun kumpulan itu tahun lalu menyatakan bahawa Biro Penduduk, Pelarian dan Migrasi Jabatan Negara AS merupakan penyumbang terbesar, menyumbang 69 peratus daripada dana mereka.

    Sekitar 80 peratus penghuni kem merupakan etnik minoriti Karen, yang telah lama berjuang untuk mendapatkan lebih banyak autonomi daripada kerajaan pusat Myanmar.

    Laman berita dalam talian, Karen News, melaporkan bahawa beberapa kumpulan amal dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan bantuan kepada pelarian dari Myanmar telah menghentikan operasi selepas Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, mengeluarkan arahan pada Jumaat lalu untuk membekukan hampir semua bantuan luar yang sedia ada dan baharu. – AP

    Gambar fail menunjukkan kawasan perlindungan di kem Pelarian Mae La berhampiran sempadan Thai-Myanmar. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda