Oleh Syahmi Hassan
Dengan persekitaran pembelajaran yang dinamik, Universiti Teknologi Brunei (UTB) berhasrat untuk menyampaikan pelbagai pengalaman pendidikan dan kokurikulum yang luar biasa, bukan sahaja menyediakan kecemerlangan dalam bidang akademik bahkan kemahiran dan keyakinan kepada pelajarnya untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan, penyelesai masalah dan inovator.
‘Keputusan terbaik yang pernah saya buat’
Dayang Ummi Hafidzahtun Nadzhira binti Ahmad Suhaimi merupakan bekas pelajar Kejuruteraan Mekanikal dari UTB yang lulus dengan kepujian kelas pertama pada tahun 2019.
“Pada tahun 2015, saya sedang mencari universiti yang bukan sahaja tertumpu kepada akademik tetapi juga melanjutkan aktiviti kokurikulum yang dapat menyediakan pelajar dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan keupayaan yang dituntut oleh industri di luar sana,” katanya.
Beliau menambah bahawa waktunya sebagai mahasiswi merupakan ‘tapak ujian’ sebelum beralih ke industri dunia sebenar, membolehkan beliau mengukir laluan kerjayanya sendiri menggunakan sumber dan sokongan yang tersedia yang disediakan oleh UTB.
Pada 2018, beliau telah menamatkan latihan selama enam bulan di Piper Aircraft di Amerika Syarikat melalui UTB ExperiencePlus, sebuah program bertujuan untuk memanjangkan pengalaman pelajar di luar bidang akademik.




Kini menjadi seorang jurutera di Pusat Pembangunan Penyelidikan Sains dan Teknologi (CSTRAD) Kementerian Pertahanan, Dayang Ummi berkata UTB adalah penting untuk mendapatkan pengalaman kerja yang diperlukannya untuk meneruskan kerjaya yang mencabar.
Mencari penyelesaian kepada masalah negara
Bagi mahasiswa kedoktoran, Awangku Syazwan bin Pengiran Sulaiman yang sedang meneliti cara meningkatkan pengeluaran pertanian Brunei dengan menangani isu seperti keasidan tanah, dengan hubungan global UTB dengan universiti antarabangsa, ia memberinya peluang untuk menjalankan biasiswa penyelidikan yang sangat diidamkan di Universiti Alberta di Kanada di bawah program Canada-ASEAN Scholarships and Educational Exchanges for Development (SEED).
“Saya membuat keputusan untuk mengambil PhD di UTB sebaik sahaja saya melihat mereka memperkenalkan program dalam Agroteknologi, yang menjadi tumpuan saya sejak ijazah sarjana muda,” katanya.
Berminat untuk menangani isu keselamatan dan pengeluaran makanan Brunei, beliau berkata projek penyelidikannya bertujuan untuk mencari penyelesaian mesra alam bagi memperbaiki keasidan tanah.
Dalam tahun keduanya, mahasiswa kedoktoran itu mengambil peluang untuk memohon biasiswa antarabangsa daripada kerajaan Kanada, dan akan menghabiskan enam bulan di bawah penyeliaan Dr Guilermo Hernandez Ramirez dalam Kumpulan Penyelidikan Ekosistem Tanah Mampan, Universiti Alberta.
Beliau berkata peluang untuk menjadi pembantu pengajar siswazah, UTB juga memberikan pengalaman yang tidak ternilai dalam perjalanan pendidikannya.
Keyakinan untuk mencuba bidang yang jarang diterokai
UTB juga telah melahirkan beberapa usahawan terkenal, antaranya ialah Dayang Wan Syifawiaam Alya’a Farhah binti Zulkiflee, yang merupakan pengasas bersama Thryffy Brunei, sebuah pasaran mudah alih dalam talian untuk barangan fesyen baharu dan terpakai.
Pada tahun 2021, bekas pelajar pengkomputeran itu memulakan pasaran mudah alih prototaip yang dipanggil ‘Nearly New’ sebagai sebahagian daripada tesis sarjana mudanya, dan akhirnya bekerjasama dengan Thryffy Technologies untuk melancarkan aplikasi ‘Thryffy’ di Malaysia pada Mei 2021.
“Pada tahun 2020, semasa gelombang pertama COVID, saya pernah membuat beg buatan saya sendiri dengan menggunakan mesin jahit lalu menjualnya di Instagram.
Kemudian saya menyedari bahawa fesyen sentiasa menjadi kegemaran saya, tetapi ibu bapa saya sentiasa mendorong saya melakukan sesuatu yang luar daripada industri kreatif kerana mereka percaya bahawa ia akan menjamin saya lebih keselamatan dan kestabilan.
“Selepas tamat pengajian, saya berpeluang menjadikan projek tesis saya sebagai usaha niaga yang dinamakan ‘Thryffy’.
Saya mendapat sokongan penuh daripada penyelia untuk mempamerkan projek itu di kampus, dan mendapat kebenaran untuk menggunakan kemudahan tersebut untuk mengembangkan lagi perniagaan,” katanya.
Fleksibiliti bagi pengajian sambilan
UTB juga menawarkan pengajian sambilan untuk beberapa programnya.
Bagi Dayang Suzanah binti Haji Ja’afar, 47 tahun, mempunyai pekerjaan yang stabil dan terjamin dalam sektor kewangan tidak menghalangnya untuk melanjutkan pembelajarannya.
Ibu kepada empat orang anak yang berasal dari Kuala Belait itu kini mengambil Sarjana dalam Pengurusan dan Teknologi, belajar sambilan dan juga bekerja sepenuh masa, dengan tiga anak sulungnya juga berada di universiti.
“Saya memutuskan untuk meneruskan pengajian saya untuk pencapaian peribadi saya sendiri dan untuk mencabar dan menemui lebih banyak ke-upayaan saya,” katanya.
“Satu lagi sebab untuk memilih UTB kerana ia mempunyai nilai sentimental, saya memperoleh Diploma Tinggi Kebangsaan (HND) dalam Perniagaan & Kewangan di sana ketika ia masih dikenali sebagai ITB.”
Dayang Suzanah berkata walaupun tidak memiliki ijazah sarjana muda, gabungan HND dan pengalaman bekerja selama 20 tahun menjadikannya layak untuk mengikuti program pascasiswazah UTB.
Ketersediaan kelas waktu malam, dan pilihan pembayaran yuran separa atau berjadual, juga menjadikan UTB sebagai pilihan yang ideal untuknya mengambil sarjana.
Beliau menambah, “Berada dalam program yang sama dengan orang dari latar belakang kerja yang berbeza, umur dan pengalaman telah menambah baik dan meluaskan perspektif saya.
Dalam tempoh yang begitu singkat, kami dapat membuat ikatan silaturahim dan bekerjasama dalam mencapai matlamat bersama kami.”

