Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembelajaran secara dalam talian cetus kreativiti guru

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Seorang guru itu perlu kreatif dalam mencari kaedah terbaik dan teknik mengajar mengikut kesesuaian pelajar, bagi memastikan kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dari rumah, ketika negara masih berhadapan dengan sekatan wabak COVID-19.

    Kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian, mungkin dilihat sebagai cara mudah untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan, ketika sekolah tidak dibuka untuk mengajar secara bersemuka, namun kaedah secara ‘offline’ atau luar talian juga mampu memastikan murid atau pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran.

    Perkara itu dikongsikan oleh Dayangku Hamizah binti Pengiran Haji Sabri, guru Bahasa Melayu ketika dihubungi berkata, “Pembelajaran di rumah itu perlu disesuaikan, bagi memastikan pelajar terutamanya yang berada di kawasan luar bandar, tidak ketinggalan dalam pelajaran.

    “Gelombang kedua COVID-19 sudah setentunya menyebabkan ramai yang terkesan. Para guru juga mempunyai amanah yang besar dalam mengalas tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu,” katanya

    Para guru juga perlu tampil lebih kreatif dalam menyampaikan pengajaran secara maya memandangkan langkah pengawalan ini mungkin akan mengambil masa yang panjang sebelum para pelajar dibolehkan untuk kembali ke sekolah.

    Dayangku Hamizah semasa memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dari rumah.

    Antara teknik pengajaran yang digunakan ialah seperti menggunakan aplikasi Classpoint supaya pelajar dapat memberi maklum balas dengan segera semasa sesi pembelajaran. Para guru juga dapat menggunakan aplikasi Loom dan WeVideo untuk membuat rakaman awal supaya pelajar boleh menontonnya pada bila-bila masa. Selain itu, aplikasi Wordwall, QuizWhizzer, Kahoot dan Quizlet juga membantu guru menjadi lebih aktif semasa pembelajaran online.

    Namun, tidak dinafikan pembelajaran secara dalam talian juga menyebabkan beberapa pelajar yang terkesan dari segi emosi. Oleh itu, para pendidik perlu bijak dalam mendalami emosi pelajar supaya setiap sesi pembelajaran yang dijalankan bukanlah sesuatu beban bagi mereka.

    Tambahan pula, para pelajar juga digalakkan untuk melakukan aktiviti riadah seperti bersukan atau bermain muzik selepas menghadiri kelas. Setakat ini, kedatangan para pelajar dalam menghadiri kelas secara dalam talian pada tahap sangat baik. 

    Manakala salah seorang guru subjek Melayu Islam Beraja (MIB) di Sekolah menengah Rimba berkata, pihaknya akan menghubungi ahli keluarga jika anak-anak muridnya tidak menghadiri kelas secara maya dan bagi pelajar yang tidak membuat kerja-kerja sekolah, pihak ibu bapa juga akan dimaklumkan.

    Dayang Aizen Zatul Hijanah, salah seorang guru di Sekolah Menengah Awang Semaun mengongsikan cabaran yang sering dihadapi para pelajarnya adalah ada kalangan murid yang kurang berkemampuan tidak mampu untuk membeli komputer, memiliki WiFi dan tiada Internet se-perti di kawasan pedalaman.

    Dayang Aizen memberi saranan  mengenai bantuan keluarga yang kurang berkemampuan diharap dapat diberikan potongan harga dan dana kemudahan alat peranti untuk demi pembelajaran mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda