SEOUL, 4 FEB – Pembelian dalam talian di Korea Selatan mencatatkan peningkatan dalam angka satu digit tahun lalu berikutan permintaan yang kukuh untuk makanan, aksesori kereta, serta perkhidmatan perjalanan dan pengangkutan, menurut data pejabat statistik hari ini.
Perbelanjaan dalam talian meningkat sebanyak 5.8 peratus kepada 242.09 trilion won (AS$165.9 bilion) pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, menurut Statistik Korea.
Ia mencatatkan kenaikan tertinggi sejak data berkaitan mula dikumpulkan pada 2001.
Transaksi makanan dan minuman dalam talian meningkat sebanyak 14.8 peratus, manakala permintaan untuk produk pertanian, ternakan dan perikanan melonjak 17.8 peratus pada tahun lalu.
Pembelian dalam talian bagi aksesori kereta meningkat sebanyak 15 peratus, sementara permintaan untuk perkhidmatan perjalanan, pengangkutan serta riadah masing-masing berkembang 9.3 peratus dan 5.8 peratus.
Namun, transaksi dalam talian untuk perkhidmatan e-kupon merosot 15.4 peratus akibat penurunan dalam pemberian hadiah seperti kopi dan kek melalui e-kupon.
Trend yang lemah itu disebabkan oleh pembayaran tertunggak daripada dua platform e-dagang yang memfailkan permohonan perlindungan mahkamah pada bulan Julai tahun lalu selepas gagal membuat pembayaran kepada vendor dan menawarkan bayaran balik kepada pelanggan.
Permintaan dalam talian bagi komputer, peranti mudah alih, kasut, serta barang sukan dan barang riadah menurun dalam angka satu digit pada tahun lalu.
Pembelian dalam talian melalui telefon pintar, tablet dan peranti mudah alih lain meningkat 7.9 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 182.37 trilion won (AS$125 bilion) pada 2024, menyumbang 75.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pembelian dalam talian. – Xinhua