Pembelian panik di beberapa pasar raya tempatan

Oleh Yusrin Junaidi & Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Barisan panjang dapat dilihat di kedai-kedai dan pasar raya di beberapa kawasan di negara ini pada hari ini, susulan penekanan tentang full lockdown yang dibuat oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan, semalam.

Semasa tinjauan Media Permata, hari ini, rata-rata orang yang sedang membeli barang keperluan di beberapa buah pasar raya di ibu negara memberitahu bahawa mereka membuat pembelian sebagai langkah bersedia jika terjadi full lockdown, kerana jika dilaksanakan besar kemungkinan ia akan berlangsung selama lebih satu minggu atau sebulan lamanya.

Sementara itu, wakil beberapa buah pasar raya yang ditemu bual menyatakan bahawa pasar raya mereka menyaksikan jumlah pelanggan yang besar dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik.

Pengarah Urusan Maju Grocer Supermarket, Sam Ying Kok ketika dihubungi berkata, orang ramai tidak sepatutnya melakukan pembelian panik, kerana ia akan memburukkan keadaan dan menimbulkan bermacam-macam spekulasi.

Beliau berpendapat, jika sekatan pergerakan sepenuhnya dilaksanakan, pihak kerajaan harus perlu memaklumkan sekurang-kurang tiga hari sebelum pelaksanaannya bagi memastikan bekalan makanan rakyat dan penduduk mencukupi dan jika dilaksanakan, keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan juga harus diambil perhatian.

Barisan panjang dapat dilihat di depan salah sebuah pasar raya di negara ini kelmarin.
Rak barangan makanan di salah sebuh pasar raya kosong disebabkan pembelian panik.

Menurut beliau lagi, mereka ini mungkin tidak mampu untuk membuat persiapan membeli barang keperluan harian dan ini akan menambah lagi tugas-tugas pihak kerajaan bagi memastikan kemaslahatan mereka terjaga.

“Memang sekarang orang ramai sudah mula panik dan ada di antara mereka hendak membeli lebih 10 guni beras untuk kegunaan persendirian dan jika berlanjutan kepada lebih daripada 10 orang akan menimbulkan lagi masalah stok beras negara,” ujarnya.

Beliau juga menasihatkan para pelanggannya untuk tidak mudah panik dan mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan, teranah di rumah dan jangan keluar rumah jika tidak ada keperluan penting.

“Dengan mengikuti apa juga arahan yang telah diberikan, kita akan dapat membantu membendung penularan wabak COVID-19,” ujarnya.

Sementara itu, seorang kakitangan di sebuah kedai runcit berkata, pelanggan sudah berada di depan kedai apabila pekerja baru sahaja bersedia untuk pembukaan.

Pengurus TM Majeed, Anwar berkata bahawa terdapat kebimbangan mengenai ketersediaan bekalan jika sekatan penuh dilakukan dan ini menyebabkan pembelian panik dalam kalangan pelanggan mereka selama beberapa jam pagi tadi.

Bagaimanapun, menurut beliau, kedai berkenaan masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengarahkan orang ramai berbaris di luar dengan menjaga penjarakan fizikal serta memberi jaminan bahawa kedai mereka mempunyai bekalan yang mencukupi, dengan itu tidak perlu panik.

“Saya tidak menyaksikan sebarang kekurangan stok kerana kebanyakan keperluan mencukupi dan dibekalkan. Jadi tidak perlu membuat pembelian panik.”

Winnie dari Gedung Perniagaan SKH turut menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat pembelian panik kerana pasar raya berkenaan mempunyai bekalan yang mencukupi terutamanya keperluan penting.

“Kami ingin menenangkan pelanggan bahawa kami mempunyai stok yang mencukupi di kedai kami dan tidak perlu membuat pembelian panik. Pada masa yang sama, kami terus mematuhi garis panduan kesihatan yang ditetapkan Kementerian Kesijatan dan terus mengingatkan pelanggan kami untuk mengamalkan penjarakan fizikal menerusi sistem pengumuman di kedai kami,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa mereka juga cuba mengawal pelanggan supaya membeli kuantiti biasa untuk memberi peluang kepada pelanggan lain.

Semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, semalam, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menekankan mengenai kemungkinan negara melaksanakan full lockdown jika orang ramai tidak mematuhi arahan dan masih berjalan-jalan tanpa ada urusan penting.