Pembenihan awan di Sarawak bermula

KUCHING, 20 SEPT – Pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan memulakan operasi pembenihan awam di ruang udara Sarawak, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pesawat berkenaan akan melalui ruang udara Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Saratok, Sarikei, Kanowit, Sibu, Mukah, Sematan dan Bau sepanjang tiga hari operasi dijalankan.

“Hari ini laluan pesawat ialah dari Kuching, Kota Samarahan dan Sri Aman serta sebanyak yang mungkin kawasan lain.

“Ini kerana penerbangan pesawat bukan isu, tetapi awan yang menjadi isu kerana operasi ini perlu mencari awan bagi menukarkannya kepada hujan,” katanya selepas melawat persiapan operasi pembenihan awan di Pangkalan TUDM Kuching, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai isu jerebu, Uggah menyarankan agar lebih banyak stesen bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) diwujudkan di negeri berkenaan bagi membantu bacaan IPU lebih tepat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat Meteorologi Sarawak, Siniarovina Urban Sinyaw berkata berdasarkan analisa pihaknya, awan besar diramal berpotensi terbentuk pada sebelah petang setiap hari dengan hari ini dijangka sekitar pukul 1 petang.

“Analisa dibuat dengan mengukur arah angin berdasarkan satelit dan radar untuk pastikan ada potensi pembentukan awan, sebelum pesawat C-130 TUDM akan terbang mencari awan yang sesuai mengunakan peta analisa.

“Tetapi setakat ini, potensi menjumpai awan di Sri Aman dalam 20 hingga 30 peratus sahaja kerana kawasan itu agak kering ketika ini,” katanya.

Beliau berkata pembenihan awan akan dilakukan dari ketinggian 4,500 kaki sehingga 7,000 kaki. – Bernama