Friday, October 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemberi pinjaman wang perlu miliki lesen

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) memaklumkan bahawa mana-mana pihak atau individu yang menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang hendaklah mempunyai lesen di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang, Penggal 62.

    Menurut Seksyen 8(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang, menjalankan perniagaan meminjamkan wang tanpa lesen adalah satu kesalahan dan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda $500 dan dipenjarakan selama tempoh 18 bulan.

    Dalam pada itu, BDCB tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas pemberi pinjaman wang yang tidak berlesen.

    BDCB juga menasihatkan orang ramai yang hendak membuat pinjaman atau pembiayaan kewangan untuk hanya berurusan dengan bank-bank dan syarikat kewangan yang berlesen dan berwaspada bagi tidak berurusan dengan pemberi pinjaman wang yang tidak berlesen (juga dikenali sebagai ‘Ah Long’ atau ‘loan shark’).

    BDCB menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengesyaki entiti/individu yang menawarkan perkhidmatan pinjaman wang tanpa lesen agar menghubungi Isu Pengguna Kewangan, BDCB di 8380007 atau emel fci@bdcb.gov.bn.

    Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat laporan dengan segera kepada Pasukan Polis Diraja Brunei di balai polis berhampiran atau melalui 993 jika awda telah menjadi mangsa aktiviti kewangan yang tidak berlesen tersebut.

    BDCB dengan kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan, sentiasa memantau aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di Negara Brunei Darussalam.

    Untuk mendapatkan senarai institusi-institusi kewangan dan individu yang dilesenkan oleh BDCB serta BDCB Alert List, sila layari laman web BDCB di www.bdcb.gov.bn.

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda