Friday, July 5, 2024
29.6 C
Brunei

    -

    Pemberian insentif suntik semangat atlet

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Ahli-ahli Kontinjen Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD) yang menyertai Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN ke-13 (ASG13) yang diadakan di Da Nang, Vietnam telah diraikan dalam Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sukan (IKS) yang berlangsung di Hotel Mulia, hari ini.

    Majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui MS SSBD diadakan bagi menghargai Kontinjen MS SSBD yang telah menyertai temasya tersebut pada awal bulan ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil penghargaan serta insentif kecemerlangan kepada ahli-ahli kontinjen ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Penghargaan berkenaan diberikan kepada para atlet termasuk pengurus pasukan, jurulatih dan pegawai-pegawai yang terlibat.

    Penerima-penerima anugerah ialah Hayley Wong berusia 16 tahun dari Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna yang menyertai sukan renang dalam acara 50 meter gaya bebas di mana beliau berjaya memecahkan rekod kebangsaan yang dipegangnya pada 2023.

    Penerima kedua ialah Awang Abdullah Abbas bin Awang Abdullah berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam yang menyertai sukan olahraga dalam acara 3,000 meter di mana beliau juga berjaya memecahkan rekod kebangsaan.

    Penerima ketiga ialah Dayang Nursyakirah Mawaddah binti Mohammad Fauzi berusia 16 tahun dari Sekolah Sukan yang menyertai sukan pencak silat dalam acara Tunggal Putri di mana beliau telah memenangi pingat gangsa dalam penyertaan kali pertama Kejohanan ASG.

    Penerima keempat ialah Awang Mohd Azinuddin bin Mohd Azree berusia 17 tahun dari Sekolah Sukan yang menyertai sukan pencak silat dalam acara Tanding Lelaki Kelas C di mana beliau telah memenangi pingat perak dalam penyertaan kali pertama Kejohanan ASG.

    Majlis tersebut juga diadakan sebagai motivasi dan penyuntik semangat kepada para atlet pelajar dan pelajar-pelajar lain untuk bergiat aktif dalam menyertai kejohanan-kejohanan sedemikian.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyampaikan sijil penghargaan serta insentif kecemerlangan kepada Awang Mohd Azinuddin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Menteri Pendidikan hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ keluarkan panduan penggunaan peranti di sekolah

    WELLINGTON, 5 JULAI - Memandangkan kanak-kanak New Zealand (NZ) mencatat kadar penggunaan peranti tertinggi di dunia, garis panduan baharu untuk membantu mengimbangi risiko kesihatan...