Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Anugerah Hari Belia Kebangsaan (HBK) merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan negara kepada pergerakan belia di Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama menyahut titah serta hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan belia suatu aset yang perlu diberi fokus dan dihargai.
Sehubungan itu, Urus Setia Anugerah HBK ke-20, Tahun 2025 telah mengadakan Sesi Pemberigaan Anugerah HBK 2025 sempena Sambutan HBK 2025 yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), kelmarin.
Sesi Pemberigaan Anugerah HBK 2025 dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) selaku Menjalankan Tugas Setiausaha Tetap (Kebeliaan), KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.
Taklimat Anugerah HBK disampaikan oleh Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Dayang Zainab binti Haji Morshidi dan diselajurkan dengan sesi soal jawab.
Majlis juga menyaksikan penyerahan poster Anugerah HBK 2025 oleh Hajah Nor Ashikin kepada wakil setiap persatuan-persatuan belia, pegawai-pegawai perhubungan awam dan para media yang hadir.
Anugerah HBK ke-20, 2025 dibahagikan kepada empat kategori iaitu Anugerah Belia Cemerlang (BC), Anugerah Belia Berkhidmat (BB), Anugerah Pemimpin Muda Belia (PMB) dan Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia (PCUB) iaitu Projek Cemerlang Untuk Belia Bidang Sosial Ekonomi (PCUBSE), Projek Cemerlang Untuk Belia Bidang Gaya Hidup Sihat (PCUBGHS) serta Projek Cemerlang Untuk Belia Bidang Seni dan Kebudayaan (PUCBSKI).
Syarat-syarat permohonan bagi semua kategori anugerah berkenaan adalah pencalonan dibuka kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap iaitu pemegang pasport Negara Brunei Darussalam sahaja, lelaki atau perempuan terdiri daripada belia perseorangan atau belia-belia yang terlibat dalam mana-mana organisasi yang diiktiraf oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berumur antara 15 hingga 35 tahun iaitu tidak lebih dari 35 tahun pada 1 Ogos 2024 bagi kategori PCUB / BC / BB sahaja, berumur antara 15 hingga 45 tahun iaitu tidak lebih dari 45 tahun pada 1 Ogos 2024 bagi kategori PMB sahaja serta pemohon hanya dibenarkan untuk memohon satu kategori sahaja iaitu BC/BB/PMB.
Syarat-syarat permohonan lain adalah pemohon belum pernah menerima Anugerah HBK bagi tempoh tiga tahun kebelakangan dan bagi kategori yang sama; borang sokongan dan pengesahan diisikan oleh mana-mana pihak atau individu yang dapat memberikan pengesahan mengenai apa-apa yang berkaitan dengan pemohon/calon; menyertakan penilaian prestasi kerja tiga tahun kebelakangan bagi yang berkenaan serta mengisi borang pendaftaran dengan lengkap, menyertakan dokumen dan video yang dikehendaki.
Permohonan yang tidak lengkap dan tidak mengikut syarat-syarat penyertaan tidak akan dipertimbangkan dan tarikh tutup pendaftaran adalah pada 29 Mei, pukul 3 petang.
Orang ramai yang berminat boleh melayari portal rasmi Anugerah HBK di http://www.hbk.gov.bn atau Instagram @jbs.bn dan Facebook Jabatan Belia dan Sukan.
Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai anugerah berkenaan boleh menghubungi Urus Setia Anugerah HBK 2025, Jabatan Belia dan Sukan di Bilik Sekretariat, Bangunan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas atau di talian 2381903/4/5 sambungan 1300/1304 semasa waktu pejabat atau e-mel, ahbk@belia-sukan.gov.bn.