Thursday, November 14, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemberigaan tentang pelaksanaan akta hak milik strata

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Dalam usaha memberigakan mengenai pelaksanaan Akta Hak Milik Strata, Jabatan Tanah telah mengadakan ‘Refreshing Roadshow’ bagi pihak-pihak berkepentingan iaitu agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelaksanaan permohonan strata dari peringkat permohonan pecah bahagi bangunan, proses pindah milik dan penubuhan perbadanan strata.

    Majlis pemberigaan yang berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan itu telah dihadiri oleh para pegawai Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya, Jabatan Lembaga Bandaran (tiga daerah), keempat-empat jabatan daerah, Jabatan Keselamatan Negeri, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD). Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pagi tadi itu ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah.

    Majlis berkenaan telah mendengarkan taklimat-taklimat yang disampaikan oleh wakil-wakil Jabatan Tanah, Dayang Saharana binti Haji Ahmad, Dayang Amal Hayati binti Haji Junaidi, Awang Eddy Nor Ezwan bin Haji Mohammad dan wakil Jabatan Ukur, Awang Hifney bin Haji Abdul Rahman.

    Taklimat-taklimat telah menyentuh mengenai topik Pengenalan Akta Hal Milik Strata, Proses Pindah Milik Hal Milik Strata, Peranan Perbadanan Strata dan Proses Pecah Bahagi Bangunan Strata.

    Akta Kanun Tanah (Strata) Penggal 189 telah diperkenankan melalui titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun 1999 dan mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2009.

    Taklimat pemberigaan perlaksanaan akta hak milik strata yang diadakan di Kementerian Pembangunan.
    Taklimat pemberigaan perlaksanaan akta hak milik strata yang diadakan di Kementerian Pembangunan.

    Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan, akta itu merupakan sebahagian daripada cabang Undang-undang Kanun Tanah Penggal 40, yang memperuntukkan undang-undang bagi membolehkan pemilik lot tanah memecah bahagi bangunan yang lebih daripada dua unit utama, sama ada menegak atau mendatar untuk diberikan hak milik strata secara berasingan.

    Akta ini diperkenalkan untuk membuka peluang dan menggalakkan pelaburan dalam pasaran hartanah di negara ini yang dijangka akan menjana perkembangan ekonomi melalui pertumbuhan industri pembangunan daripada pelaburan dalam dan luar negeri. Di samping itu, ia juga menjamin hak pemilikan tanah persendirian dan hak pemilikan strata.

    Semenjak akta ini dikuatkuasakan pada 2009, pihak Jabatan Tanah telah mengungkayahkan beberapa siri jerayawara di keempat-empat daerah untuk memberi kefahaman serta memberigakan akta berkenaan bagi menarik minat para pemilik tanah dan pemaju.

    Walau bagaimanapun, daripada jumlah bilangan permohonan untuk memecah bahagi bangunan bagi pengeluaran geran hak milik strata yang diterima dan diproses setakat ini, jelas menunjukkan ia tidak berapa memberangsangkan. Setakat ini, Jabatan Tanah telah mendaftar dan mengeluarkan 42 keping geran hak milik strata (42 Unit) yang berasal daripada dua bidang lot tanah.

    Dengan ‘Refreshing Road-show’ ini, pihak yang berkepentingan luar seperti pemilik tanah, pemaju, ejen hartanah dan sebagainya akan lebih jelas dan faham mengenai kelebihan strata dan diharap dapat membantu meningkatkan kadar permohonan.

    Pada akhir majlis berkenaan, video promosi perlaksanaan Akta Hak Milik Strata juga telah dilancarkan oleh Haji Muhammad Lutfi.

    Siri pemberigaan seumpamanya bagi pihak kepentingan luaran seperti peguam, ejen hartanah, pemaju, pemilik tanah dan orang ramai dijadualkan bermula pada April 2017 di keempat-empat daerah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda