YANGON, 7 Jan – Pemberontak Rohingya hari ini mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan hendap terhadap pasukan keselamatan Myanmar yang mengakibatkan beberapa orang cedera di utara negeri Rakhine, serangan pertama dalam beberapa minggu di wilayah yang dilanda keganasan. Rakhine telah dilanda kekacauan pada Ogos lalu, setelah berlaku siri serangan pemberontak yang menyebabkan tentera bertindak ganas yang dilihat PBB sebagai operasi pembersihan etnik minoriti Muslim Rohingya.
Kempen tentera itu telah menyebabkan kira-kira 650,000 warga Rohingya melarikan diri ke Bangladesh di mana pelarian melaporkan kes rogol yang mengejutkan, pembunuhan dan pembakaran yang dilakukan oleh pasukan tentera dan pengawal keselamatan. Tentera Myanmar, mengetatkan kawalan bagi sebarang maklumat mengenai Rohingya, menafikan sebarang pelanggaran dan menegaskan tindakan keras itu sebagai tindak balas untuk menghancurkan ancaman ‘pengganas.’
Pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Arakan Rohingya (ARSA) telah melancarkan serangan beberapa bulan kebelakangan ini. Akan tetapi tentera melaporkan bahawa ‘kira-kira 10’ orang militan Rohingya menyerang sebuah kereta dengan bom buatan tangan dan melancarkan tembakan pada awal pagi Jumaat, mencederakan dua orang pegawai dan seorang pemandu.
Pemberontak itu mengaku bertanggungjawab terhadap serangan yang jarang dikongsi dari akaun rasmi Twitter hari ini.
“Tentera Pembebasan Arakan Rohingya (ARSA) mengisytiharkan bertanggungjawab melancarkan serangan hendap terhadap tentera pengganas Burma, kira-kira jam 10 pagi pada 5 Januari 2018,” katanya. – AFP