Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembersih terima padah

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Seorang pembersih dijatuhi hukuman tiga tahun penjara oleh Mahkamah Perantaraan, hari ini, atas pertuduhan menceroboh sebuah rumah untuk melakukan curi.

    Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Shamsuddin bin Mohammad, 36, yang mengaku bersalah atas tuduhan itu.

    Tertuduh didakwa memasuki flat yang beralamat di Kampung Kiarong antara jam 6:30 pagi dan 12:40 tengah hari pada 11 Februari 2019 manakala rakannya menunggu dalam kereta.

    Tertuduh mencuri empat telefon bimbit, Samsung Tab, power bank, barang kemas, dua walkie-talkie dan satu konsol permainan PSP mudah alih.

    Tertuduh kemudian memberikan satu telefon bimbit kepada rakannya sebelum mereka pergi ke kedai barang kemas untuk menjual gelang dan loket emas dengan harga $490.

    Tertuduh menyimpan $200 dan selebihnya diberikan kepada rakannya.

    Rakan tertuduh, Rasidah binti Metussin, 31, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan sedang menjalani perbicaraan.

    Dalam rekod mahkamah, tertuduh mempunyai siri rekod jenayah lampau untuk kesalahan berkaitan curi antara 1998 dan 2013.

    Pendakwaan dibuat bersama Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali dan Nur Hidayatul Aeny Alisah binti Haji Zullizam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda