Pembersih warga Filipina mengaku bersalah

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Seorang pembersih warganegara Filipina yang tidak mengaku bersalah atas dakwaan mencuri di Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC) telah menukar pengakuannya kepada bersalah dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Perantaraan, hari ini.

Hakim Muhammed Faisal bin PDJLDR DSP Haji Kefli menganggap hukuman yang dijatuhinya kepada Jay Noel De Vera Gonzales, 40, atas dakwaan mencuri di tempat dilindungi, satu kesalahan yang termasuk di bawah Seksyen 380A Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.

Mahkamah mendapati bahawa kes tersebut bertambah buruk lagi apabila ia dilakukan di NIC semasa krisis pandemik COVID-19 yang melanda negara, peranannya selaku pembersih sebagai sebahagian daripada petugas barisan depan dalam krisis berkenaan, tindakan beliau mengambil kesempatan dengan melakukan pencurian itu sendiri adalah memburukkan.

Mahkamah juga menekankan bahawa penambahan hukuman adalah perlu untuk memberi jaminan kepada orang awam bahawa sistem keadilan bersedia menghukum mereka yang mengambil kesempatan.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Ariffin Ismail mendedahkan bahawa defendan sedang bertugas pada 10 pagi, 10 April 2020 di kawasan dekontaminasi bersama rakan sekerjanya, menolak troli mengandungi but-but dan pelindung muka.

Apabila mereka berada di kawasan dekontaminasi, defendan terlihat beberapa beg plastik, satu bagasi dan beg sandang di lorong.

Ketika berjalan balik melintasi kawasan itu, defendan mengambil beg sandang berkenaan dan menyimpannya dalam tong sampah berdekatan.

Seterusnya pada jam 1 petang di hari yang sama, defendan memakai sarung tangan baharu apabila dia kembali ke tempat tong sampah itu dan melihat beg sandang berkenaan masih di sana lalu dia meninggalkan kawasan tersebut tanpa membawa beg sandang tersebut.

Defendan kemudian kembali untuk mengambil beg sandang berkenaan dengan mengganti tong sampah tersebut dengan yang lain dari bilik pembersihan berdekatan.

Dia telah mengeluarkan isi dalam beg berkenaan dan mencuri kandungannya iaitu satu kamera, telefon bersama kabelnya, wang berjumlah $330 dan 685 pound sterling serta powerbank sebelum memasukkan semula beg tersebut ke dalam tong sampah dan meninggalkannya.

Pemilik beg yang merupakan pesakit yang keluar dari pusat itu, cuba hendak mendapatkan barangannya kembali pada pukul 2:30 hanya untuk mendapati begnya telah hilang.

Pengawal keselamatan menemui beg tersebut yang telah dikosongkan dalam tong sampah dan pemilik membuat laporan polis.

Siasatan polis dengan bantuan kamera CCTV di NIC menunjukkan defendan berkelakuan mencurigakan.

Tidak lama kemudian, defendan ditangkap dan menyerahkan semua barangan yang dicuri.

Barangan curi berkenaan disimpannya di rumah pekerja dan wang tunai disembunyikan dekat longkang di kediamannya serta membuang barangan lain ke luar tingkap di rumah pekerja. Kesemua barangan berkenaan telah ditemui oleh pihak polis.