Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Pembiakan ‘nyamuk agresif’ ancam kesihatan awam

    ISTANBUL – Botol plastik yang berisi separuh air dibiarkan di bawah suhu tertentu selama enam hingga tujuh hari sudah cukup untuk mewujudkan persekitaran yang selesa untuk pembiakan berjuta-juta ‘nyamuk agresif’, jelas seorang pegawai kesihatan tempatan di bandar terbesar di Turki, Istanbul.

    Onder Yuksel Eryigit, ketua jabatan kesihatan perbandaran Istanbul, memberitahu Xinhua bahawa “spesies nyamuk ini (Aedes albopictus) dikesan di semua daerah Istanbul… Serangga itu sangat agresif, dan apabila menghisap darah, akan melekatkan kepalanya pada kulit manusia sehingga menyebabkan luka dan penyakit kulit yang teruk.”

    Nyamuk tersebut memasuki negara itu melalui pengangkutan, kebanyakannya melalui kapal pengangkut barang, dan menular dalam jumlah besar di bawah keadaan pembiakan yang menggalakkan, kata Eryigit, sambil menjelaskan perkara itu banyak berlaku di rantau Marmara, Aegean dan Laut Hitam Turki.

    Untuk menangani masalah yang semakin meningkat, perbandaran Istanbul baru-baru ini telah menubuhkan majlis perbandaran saintifik, yang terdiri daripada doktor dan ahli akademik dari fakulti veterinar, untuk melukis peta jalan dan membuat amaran yang diperlukan kepada rakyat.

    Kira-kira 200 perangkap telah dipasang di Istanbul mengesan spesies dan analisis populasi, kira-kira 180 pasukan telah bekerja 24 jam untuk mencari larva nyamuk ini, yang menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan manusia, sementara mereka setakat ini telah mengesan hampir 200,000 sumber pembiakan merentasi Istanbul, menurut Eryigit.

    Seorang pekerja menjalankan kerja pembasmian kuman di Istanbul, Turki. – Xinhua
    Pihak berkuasa semasa menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman menggunakan kenderaan serba lengkap dan mesin penyembur di semak-samun, tasik-tasik, sungai-sungai dan kolam-kolam bagi membanteras nyamuk dan haiwan perosak lain. – Xinhua
    Onder Yuksel Eryigit, ketua jabatan kesihatan perbandaran Istanbul semasa ditemui pemberita. – Xinhua

    Pihak berkuasa meminta orang ramai supaya mengelak daripada melakukan tindakan yang menyebabkan nyamuk membiak dan berhubung rapat dengan pasukan kawalan, serta segera mengemukakan permintaan pembasmian kuman mereka.

    “Jika air minuman yang ditinggalkan untuk haiwan terbiar tidak ditukar pada waktu tertentu, ia menjadi sumber. Tayar terpakai, di mana air hujan terkumpul, juga menjadi tempat pembiakan yang sesuai,” kata Eryigit.

    Beliau turut memberi amaran sekiranya bekas air di bawah pasu bunga dan air dalam kolam hiasan tidak ditukar secara berkala, ia boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

    Pihak berkuasa tempatan telah menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman dengan kenderaan yang serba lengkap dan mesin penyembur di semak-samun, tasik-tasik, sungai-sungai, dan kolam-kolam terhadap nyamuk dan haiwan perosak lain, seperti lalat rumah, kutu, tikus dan lipas, kata ketua kru, Enes Turan.

    “Matlamatnya bukan untuk menyingkirkannya daripada kitaran semula jadi, bukan untuk memusnahkan rantaian biologi, tetapi mengekalkan haiwan itu dalam alam semula jadi pada intensiti tertentu dengan cara yang tidak mewujudkan potensi penularan penyakit,” kata Eryigit. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...